Portal Rasmi Kerajaan Negeri Perak

Dato' Ahmad Suaidi Bin Abdul Rahim Dilantik Datuk Bandar Ipoh Yang Baharu : 9 Julai 2019

Dato' Ahmad Suaidi Bin Abdul Rahim Dilantik Datuk Bandar Ipoh Yang Baharu

YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu menyerahkan surat pelantikan kepada YBhg Datuk Bandar Ipoh yang baharu, Dato' Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

IPOH, 9 JULAI 2019 - Pelantikan Dato' Ahmad Suaidi Bin Abdul Rahim sebagai YBhg Datuk Bandar Ipoh yang baharu diharap dapat meneruskan wawasan kerajaan negeri bagi menjadikan Ipoh sekali lagi mendapat penarafan lima bintang seperti diperoleh pada tahun 2016.

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu berkata, dengan pasukan kerja yang berpengalaman, beliau percaya penarafan itu tidak sukar untuk dicapai.

“Saya juga mahu Ipoh dan Taiping bekerjasama dengan bandar Fukuoka sempena ulang tahun ke-30 bandar berkembar pada tahun ini kerana Datuk Bandar Fukuoka akan membuat lawatan balas pada penghujung tahun ini.

“Selain pertukaran pegawai melibatkan kedua-dua bandar, kita juga akan ada pertukaran haiwan antara Zoo Taiping dan Zoo Fukuoka,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Dato' Ahmad Suaidi Bin Abdul Rahim ke Pejabat YAB Menteri Besar di Bangunan Perak Darul Ridzuan. 

Hadir sama YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Tuan Haji Borhan Bin Abdul Halim yang disambung kontrak perkhidmatannya sehingga hujung tahun ini.

Dato' Ahmad Suaidi Bin Abdul Rahim, 49, yang berasal dari Changkat Jering, merupakan bekas Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) dari pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor.

Pelantikan beliau sebagai Datuk Bandar Ipoh Ke-11 berkuat kuasa 1 Julai tahun ini adalah bagi menggantikan Dato' Zamri Bin Man yang dipendekkan tempoh perkhidmatan mulai 17 Februari lalu atas faktor kesihatan.

Sementara itu, Dato' Ahmad Suaidi Bin Abdul Rahim berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan semua ahli majlis serta meneruskan agenda perencanaan Ipoh ke arah pembangunan bandar pintar.

Beliau yang boleh bertutur dalam bahasa Jepun, merupakan graduan Sarjana Informasi Global dan Pengajian Telekomunikasi dari Universiti Waseda, Jepun selain memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Bioteknologi dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Dato' Ahmad Suaidi Bin Abdul Rahim Dilantik Datuk Bandar Ipoh Yang Baharu

YBhg Datuk Bandar Ipoh, Dato' Ahmad Suaidi Abdul Rahim ketika berucap pada sidang media selepas menerima surat pelantikan daripada YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu.
Dato' Ahmad Suaidi Bin Abdul Rahim Dilantik Datuk Bandar Ipoh Yang Baharu YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu ketika berucap pada sidang media yang berlangsung.

Sumber : Korporat, SUK Perak.