Portal Rasmi Kerajaan Negeri Perak

Program Kelestarian Felda Bantu Peneroka Selesai Masalah : 21 Julai 2019

Program Kelestarian Felda Bantu Peneroka Selesai Masalah

YB Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Penerangan negeri Tuan Hasnul Zulkarnain Bin Abdul Munaim bersama tetamu kehormat yang hadir pada program tersebut.

SUNGAI SIPUT, 21 JULAI 2019 - Program Kelestarian Felda yang dilaksanakan di negeri ini bertujuan memudahkan masyarakat Felda mengemukakan pelbagai aduan dan masalah kepada jabatan dan agensi kerajaan negeri menerusi kaunter pameran yang disediakan.

YB Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Penerangan negeri Tuan Hasnul Zulkarnain Bin Abdul Munaim berkata program yang dilaksanakan kerajaan negeri dan Felda itu mampu mengatasi kegusaran dan keresahan masyarakat peneroka yang kini berdepan dengan masalah kewangan yang meruncing.

"Kita hendak mendedahkan bagaimanakah cara untuk kita membawa aduan itu daripada masyarakat dan menyelesaikannya kerana rata-rata yang datang ke program ini  adalah di kalangan warga emas.

"Ini merupakan sentuhan komunikasi di antara kerajaan negeri serta Felda dan saya percaya ia akan menjadi keyakinan dalam kalangan penduduk Felda menerusi program ini," ujar beliau pada sidang media selepas merasmikan program berkenaan di Felda Lasah. 

Turut hadir Pegawai Daerah Kuala Kangsar, Encik Ahmad Munir Bin Ishak dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Lintang, Encik Hairul Amir Bin Sabri. 

Beliau berkata Felda Lasah dipilih adalah lokasi ketiga penganjuran program berkenaan selepas Felda Besout di Tanjung Malim dan Felda Nenering di Pengkalan Hulu dan akan diteruskan ke kawasan Felda yang lain.

"Terdapat, 17 kawasan Felda yang di negeri ini dan Felda Lasah merupakan yang ketiga dipilih bagi menjayakan program ini selepas Felda Besout dan Felda Nenering," ujar beliau. 

Program sehari itu menyediakan pelbagai pameran jabatan dan agensi kerajaan, permohonan Kolej Komuniti serta permohonan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitulmal selain menyediakan secara percuma pokok anak durian, cermin mata dan pemeriksaan kesihatan kepada orang ramai.

Program Kelestarian Felda Bantu Peneroka Selesai Masalah

YB Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Penerangan negeri Tuan Hasnul Zulkarnain Bin Abdul Munaim ketika berucap pada program yang berlangsung.
Program Kelestarian Felda Bantu Peneroka Selesai Masalah YB Tuan Hasnul Zulkarnain Bin Abdul Munaim ketika menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima dalam majlis berkenaan.
Program Kelestarian Felda Bantu Peneroka Selesai Masalah YB Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Penerangan negeri Tuan Hasnul Zulkarnain Bin Abdul Munaim ketika melakukan pemeriksaan kesihatan dalam program yang dianjurkan.
Program Kelestarian Felda Bantu Peneroka Selesai Masalah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menyertai pameran dalam program anjuran kerajaan negeri itu.

Sumber : Korporat, SUK Perak.