Rabu, 23 Oktober 2019
 
  • Kemaskini Terakhir: 22 Oktober 2019
 
lain
faq2 seperator hubungi2 seperator maklumbalas2 seperator peta2
Soalan Lazim Hubungi Kami Maklumbalas Peta Laman

Perak Komited Jadi Penyumbang Utama Sektor Pertanian Negara

YAB Menteri Besar Perak mencanting batik tulisan Agrofest Perak 2019.

IPOH, 28 SEPTEMBER 2019 - Kerajaan negeri komited untuk menjadikan Perak sebagai antara negeri utama yang menjadi penyumbang kepada sektor pertanian negara.

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu berkata, perkara itu bertepatan dengan titah DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah supaya kerajaan menghasilkan pelan strategik untuk melindungi kedaulatan makanan negara sekaligus mengekang kenaikan kos sara hidup rakyat jelata.

Beliau berkata, bagi menjunjung titah baginda kerajaan negeri melalui
Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) telah memulakan langkah membangunkan Perak Agro Valley di Wilayah Bukit Sapi Mukim Lenggong seluas 1,983.68 hektar.

"Usaha ini melibatkan beberapa agensi seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, Jabatan Veterinar, Pertubuhan Peladang Kawasan dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

"Adalah dijangka, Perak Agro Valley yang berkonsepkan Pertanian Integrasi melibatkan tanaman tanaman kontan, tanaman sayur-sayuran, dusun buah-buahan dan penternakan kambing, lembu dan rusa ini, mampu menarik pelaburan berjumlah RM1.4 bilion," ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Agrofest Negeri Perak 2019 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng.

Hadir sama YB Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Tuan Abdul Yunus Bin Jamhari dan YB Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri, Dato' Seri Ir. Haji Mohammad Nizar Bin Jamaluddin.

Selain itu, menurut beliau, bagi membantu memenuhi hasrat rakyat yang berminat dalam bidang pertanian tetapi tidak memiliki tanah sendiri, PPPNP juga telah melaksana dan merangka beberapa Projek Ladang Integrasi Bersama Rakyat di ladang-ladang milik agensi berkenaan.

"Sebagai contoh di Ladang Gelong Gajah, enam orang penternak telah terpilih untuk menyertai projek integrasi tanaman sawit dan ternakan 200 ekor lembu. Saya difahamkan beberapa projek seumpanya telah dan sedang diusahakan di beberapa daerah lain," kata beliau.

Tambah beliau, semua inisiatif yang digerakkan ini juga adalah serampang dua mata bagi memberi keadilan sosial kepada rakyat negeri Perak dengan mewujudkan peluang keusahawanan dan pekerjaan.

Mengulas tentang Agrofest Perak 2019, kata beliau, penganjuran program berkenaan merupakan salah satu usaha kerajaan negeri dalam mempromosikan sektor pertanian terutamanya Dasar Agromakanan Negara kepada rakyat negeri.

"Ingin saya tegaskan di sini sekali lagi bahawa kerajaan negeri amat komited kepada agenda merakyatkan ekonomi melalui sektor pertanian dan industri asas tani," ujar beliau.

Perak Komited Jadi Penyumbang Utama Sektor Pertanian Negara Gimik perasmian Agrofest Perak 2019.
Perak Komited Jadi Penyumbang Utama Sektor Pertanian Negara Ketibaan YAB Menteri Besar Perak disambut oleh orang ramai semasa Agrofest Perak 2019.
Perak Komited Jadi Penyumbang Utama Sektor Pertanian Negara YAB Menteri Besar Perak beramash mesra bersama pengunjung yang hadir.
Perak Komited Jadi Penyumbang Utama Sektor Pertanian Negara YAB Menteri Besar Perak bergambar bersama para pemenang pertandingan Hari Peladang Penternak dan Nelayan (HPPN) 2019 semasa Agrofest 2019 di RTC.

Sumber : Korporat, SUK Perak.