Rabu, 23 Oktober 2019
 
  • Kemaskini Terakhir: 22 Oktober 2019
 
lain
faq2 seperator hubungi2 seperator maklumbalas2 seperator peta2
Soalan Lazim Hubungi Kami Maklumbalas Peta Laman

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Berkenan Rasmi Sistem Rawatan Air SafeWhere Batang Padang

DYMM Paduka Seri Sultan perak merasmikan pemasangan 10 sistem air terawat di tujuh kampung Orang Asli di daerah Batang Padang.

TAPAH, 5 OKTOBER 2019 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan 10 unit sistem rawatan air lapangan SafeWhere Batang Padang.

Turut berangkat DYMM Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim serta YTM Raja Kecil Sulong, Raja Dato' Seri Ahmad Nazim Azlan Shah Raja Dato' Seri Ashman Shah.

Hadir sama ke majlis tersebut YAB Menteri Besar Perak Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu; Pemegang Amanah Yayasan Sultan Azlan Shah (YSAS) Jen (B) Tan Sri Dato' Seri Dr Mohd Zahidi Bin Haji Zainuddin; Ketua Koordinator Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) Dr Ahmad Munawar Helmi Bin Salim dan YBrs Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Prof Dr Juli a/l Edo.

Jen (B) Tan Sri Dato' Seri Dr Mohd Zahidi Bin Haji Zainuddin berkata, Sistem Rawatan Air Lapangan Safewhere sumbangan YSAS yang mula beroperasi sejak 7 September lalu itu membekalkan bekalan air terawat kepada lebih 1,100 penduduk di kampung Orang Asli terbabit.

Pemasangan 10 unit sistem rawatan air berkuasa solar dibangunkan IMARET dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia mengambil masa lima minggu serta membabitkan dana keseluruhan RM1.1 juta termasuk kos penyelenggaraan 10 tahun.

"Inisiatif YSAS dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Batang Padang dan IMARET dalam membekalkan air terawat untuk komuniti Orang Asli itu turut membabitkan pembinaan empangan mini di Kampung Orang Asli Batu 17 Sekam Bawah," ujar beliau dalam sembah ucapan pada majlis perasmian itu.

Tujuh kampung Orang Asli yang menerima sistem rawatan air lapangan itu ialah Kampung Orang Asli Batu 14, Batu 15, Batu 16, Batu 17 Sekam Bawah, Batu 17 Landing Zone, Batu 19 dan Batu 20.

Beliau berkata, kampung terbabit dipilih selepas kajian dijalankan IMARET dan Pejabat Kesihatan Daerah Batang Padang mendapati terdapat keperluan air terawat dalam kalangan penduduk yang bergantung kepada sumber semula jadi sekali gus terdedah kepada risiko penyakit bawaan air.

Selain di pedalaman Kelantan dan Johor, sistem rawatan air lapangan itu telah dipasang di kem pelarian Rohingya di Cox's Bazar, Bangladesh dan di empat kampung dan hunian sementara mangsa gempa di Palu, Sulawesi.

YSAS diperbadankan sebagai syarikat berhad pada 6 Februari 2006 dengan tujuan mempromosi aktiviti kebajikan bermanfaat untuk masyarakat di Perak. YSAS juga mewakili warisan Alhamrhum DYMM Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfurlah dan simbol Kesultanan Perak yang menyediakan talian penting selain merapatkan jurang antara raja dan rakyat, termasuklah dalam kalangan komuniti Orang Asli.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Berkenan Rasmi Sistem Rawatan Air SafeWhere Batang Padang YAB Menteri Besar Perak dan Isteri beramah mesra dengan penduduk setempat.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Berkenan Rasmi Sistem Rawatan Air SafeWhere Batang Padang DYMM Paduka Seri Sultan Perak bergambar bersama salah seorang anak penduduk setempat.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Berkenan Rasmi Sistem Rawatan Air SafeWhere Batang Padang Raja Permaisuri Perak beramah mesra dengan penduduk setempat.

Sumber : Korporat, SUK Perak.