Portal Rasmi Kerajaan Negeri Perak

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Berkenan Rasmi Program Restorasi Tebing Sungai Perak : 21 Oktober 2019

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Berkenan Rasmi Program Restorasi Tebing Sungai Perak

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyempurnakan perasmian Program Restorasi Tebing Sungai Perak.

KUALA KANGSAR, 21 OKTOBER 2019 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyempurnakan perasmian Program Restorasi Tebing Sungai Perak sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perak 2019 di Persiaran Tebing Sungai Perak, Sayong.

Turut berangkat DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; DYTM Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris A'afifullah Shah; DYAM Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris A'afifullah Shah dan DYAM Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Turut hadir YAB Menteri Besar Perak Darul Ridzuan Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman, barisan EXCO Kerajaan Negeri Perak dan

Pengarah Jabatan Perhutanan Perak, Dato' Mohamed Zin Bin Yusop.

Dalam program yang berlangsung, DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melakukan penanaman pokok Merbau atau nama saintifiknya, Intsia Palembanica sebagai simbolik perasmian.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah juga telah berkenan menyempurnakan penyerahan anak pokok kepada Pegawai Daerah Kuala Kangsar, Tuan Ahmad Munir Bin Ishak.

Baginda turut berkenan menyerahkan sijil bagi Program Bantuan Peningkatan Ekonomi B40 kepada Tok Batin Kampung Bersah dan Kuala Mu.

Selain itu, baginda berkenan menyerahkan sijil penghargaan kepada Pertubuhan Sahabat Hutan Bakau Lekir, Setiawan dan Pertubuhan Sahabat Hutan Bakau Kuala Gula.

Dalam pada itu, YAB Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu dalam ucapannya berkata, pemilihan lokasi perasmian selari dengan hasrat untuk membangunkan kawasan itu sebagai Taman Botani Diraja Kuala Kangsar iaitu yang pertama seumpamanya di Perak.

"Bagi merealisasikan penubuhan Taman Botani Diraja ini, pelbagai jenis pokok akan ditanam di kawasan sepanjang lima kilometer ini.

"Sehingga kini, sebanyak 300 Pokok Ara telah berjaya ditanam dengan kerjasama pelbagai agensi," ujar beliau dalam sembah ucapan pada perasmian program sambutan yang bertemakan Hutan dan Pendidikan itu.

Selain itu, beliau berkata, Program Bantuan Peningkatan Ekonomi B40 menerusi Skim Insentif Penjualan Anak Pokok seliaan Jabatan Perhutanan negeri dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Perak dan Kedah akan dilaksanakan sebagai usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli berteraskan kelestarian sumber alam di persekitaran mereka.

Sebagai permulaan, tegas beliau, sebanyak 1,000 anak pokok akan ditanam di kawasan Pos Kuala Mu, Sungai Siput sebelum ia diperluaskan di kawasan yang lain.

Mengenai pengurusan hutan, YAB Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu berkata, kerajaan negeri telah berjaya mengekalkan dan mengurus sejumlah lebih 988,603 hektar kawasan berstatus Hutan Simpanan Kekal  (HSK) dengan 474,882.34 hektar sebagai hutan perlindungan dan 513,721.60 hektar sebagai hutan pengeluaran.

Beliau berkata Jabatan Perhutanan Perak juga telah menyumbang sebanyak RM56 juta kepada hasil negeri, melebihi sasaran awal sebanyak RM50 juta selain berjaya melaksanakan Program Penghijauan melalui Aktiviti Penanaman Pokok sebanyak tiga juta pada tahun lepas.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Berkenan Rasmi Program Restorasi Tebing Sungai Perak DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah melawat gerai di majlis tersebut.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Berkenan Rasmi Program Restorasi Tebing Sungai Perak Anak pokok ditanam di tebing Sungai Perak sempena Program Restorasi Tebing Sungai Perak Sayong.

Sumber : Korporat, SUK Perak.