Selasa, 19 November 2019
 
  • Kemaskini Terakhir: 19 November 2019
 
lain
faq2 seperator hubungi2 seperator maklumbalas2 seperator peta2
Soalan Lazim Hubungi Kami Maklumbalas Peta Laman

Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Dahului Senarai Penerima Pingat Sempena Ulang Tahun Keputeraan Dymm Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Yang Ke-63

Sidang Media Hari Keputeraan DYMM Paduka Seri Sultan Perak.

IPOH, 1 NOVEMBER 2019 - Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mendahului senarai 254 penerima darjah kebesaran dan pingat negeri Perak sempena Ulang Tahun Keputeraan DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang ke-63.

Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai lepas, dikurniakan Darjah Kerabat.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral (B) Tan Sri Dato Seri Dr Mohd Zahidi Bin Haji Zainuddin berkata tarikh bagi pengurniaan Darjah Kerabat kepada Yang di-Pertuan Agong akan ditetapkan sendiri oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sementara itu, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral (B) Tan Sri Dato Seri Dr Mohd Zahidi Bin Haji Zainuddin berkata, sempena ulang tahun hari keputeraan kali ini, DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mengurniakan Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Dato' Seri kepada Setiausaha Dewan Negara Perak, YDH Toh Amar Seri Diraja Dato' Ayop Bin Hashim.

YDH Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato' Seri Abd Hamid Bin Bador pula menjadi penerima tunggal Darjah Seri Pahlawan Taming Sari (SPTS) yang membawa gelaran Dato' Seri Panglima, manakala Darjah Dato' Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Dato' dianugerahkan kepada YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman.

Sementara itu, seramai 12 individu menerima Darjah Dato' Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Dato' termasuk seorang penerima Darjah Kehormat iaitu Duta Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussien Saeed Qattan.

Turut menerima DPMP adalah dua Ahli Majlis Kerajaan Negeri Perak (Exco) iaitu YB Pengerusi Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan,  Tuan Haji Asmuni Bin Awi serta YB Pengerusi Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan, Tuan Abdul Yunus Bin Jamhari.

Timbalan Ketua Pengarah (Pelaksanaan Projek) Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan, Kementerian Pertahanan Brig Jen Haji Mustaffa Bin Haji Othman serta Ketua Penolong Pengarah (Tadbir Urus/Kepolisan Am), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman SAC Tuan Azizi Bin Mat Aris merupakan antara empat penerima Darjah Dato' Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Dato' Pahlawan.

Menurut beliau, istiadat penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak kepada semua 19 penerima SPMP, SPTS, DPCM, DPMP dan DPTS oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah akan berlangsung pada 10 November 2019, jam 9 pagi di Balairung Seri, Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Tambah beliau, sesi kedua istiadat penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak kepada 234 penerima akan diadakan pada 16 November 2019, jam 9 pagi, juga di Balairung Seri, Istana Iskandariah.

Beliau berkata, DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut berkenan menganugerahkan Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM) kepada tujuh penerima, manakala Ketua Editor dan Penerbitan Bernama TV, D. Arul Rajoo merupakan salah seorang daripada 23 penerima Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP).

Selain itu, seramai sembilan orang akan menerima Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM), 44 dianugerahkan Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP), manakala Pingat Pekerti Terpilih (PPT) dianugerahkan kepada 50 penerima.

Dua atlet boling padang Perak iaitu Syairah Binti Mat Isa dan Nur Fidrah Binti Noh menjadi antara 95 penerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK), sementara enam lagi penerima menerima Pingat Lama Perkhidmatan (PLP).

Selain itu, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral (B) Tan Sri Dato Seri Dr Mohd Zahidi Bin Haji Zainuddin berkata, bermula hari ini semua masjid di Perak akan mengadakan bacaan Yasin, majlis kesyukuran dan bacaan doa selamat sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang ke-63.

Beliau berkata, rakyat juga disaran meraikan Ulang Tahun Hari Keputeraan DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang ke-63 dengan mengibarkan bendera negeri di bangunan-bangunan pejabat, perniagaan dan kediaman.

"Untuk menambah suasana meriah dan keceriaan menyambut kehadiran tetamu sempena Majlis Santapan Malam pada 9 November di Istana Iskandariah, bangunan-bangunan pejabat, perniagaan dianjurkan memasang lampu pada malam tersebut sehingga pukul 12 tengah malam," kata beliau.

Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Dahului Senarai Penerima Pingat Sempena Ulang Tahun Keputeraan Dymm Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Yang Ke-63 Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral (B) Tan Sri Dato Seri Dr Mohd Zahidi Bin Haji Zainuddin ketika sidang media Hari Keputeraan DYMM Paduka Seri Sultan Perak.
Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Dahului Senarai Penerima Pingat Sempena Ulang Tahun Keputeraan Dymm Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Yang Ke-63 Antara media yang hadir ke sidang media tersebut.

Sumber : Korporat, SUK Perak.