Rabu, 1 April 2020
 
  • Kemaskini Terakhir: 28 Mac 2020
 
lain
faq2 seperator hubungi2 seperator maklumbalas2 seperator peta2
Soalan Lazim Hubungi Kami Maklumbalas Peta Laman

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Gesa Komitmen Semua Tangani Isu Perubahan Iklim

Titah Ucapan Perasmian DYMM Paduka Seri Sultan Perak.

KUALA KANGSAR, 3 MAC 2020 – DYMM Paduka Seri Sultan Perak hari ini bertitah agar semua pihak mengambil inisiatif serta tidak menangguhkan usaha dalam menangani isu perubahan iklim serta menjamin kelestarian alam sekitar.

Prihatin akan isu pemanasan global dan perubahan iklim dihadapi dunia ketika ini, DYMM Paduka Seri Sultan Perak bertitah agar tindakan adaptasi dan tindakan mitigasi perlu dirintis dan dilaksanakan secara serius.

“Keadaan bertambah meruncing dengan berlakunya pelbagai projek pembangunan yang melibatkan kawasan tanah gambut, pembalakan yang tidak terkawal, pembakaran berskala besar, arang batu, petroleum dan bahan bakar fosil.

“Setiap minit tertangguhnya usaha menangani isu alam sekitar, meningkatkan ancaman terhadap kehidupan, kesihatan dan masa hadapan alam.” Titah baginda ketika merasmikan Hari Landskap Negara Perak Darul Ridzuan di Laman Budaya, hari ini.

Mengiringi keberangkatan baginda adalah DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim. Turut berangkat, Berangkat sama, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Raja Muda Musa; DYTM Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris A’fifullah Shah, DYAM Raja Dihilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris A’fifullah Shah.

Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Dato’ Azumu; YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Tuan Azmir Shah bin Zainal Abidin serta barisan EXCO Kerajaan Negeri.

Selain itu, DYMM Paduka Seri Sultan Perak turut menarik perhatian terhadap budaya orang Melayu terutamanya di desa satu ketika dahulu yang menanam sebatang pokok menandakan kelahiran seorang bayi, sama ada pokok pisang, pinang atau buah-buahan.

Titahnya, amalan itu tanpa disedari menyeimbangkan sistem ekologi secara semula jadi kerana manusia menyedut oksigen dan melepaskan karbon dioksida, sementara pokok menyerap karbon dioksida dan mengeluarkan oksigen.

Baginda turut memuji komitmen bersama Majlis Perbandaran Kuala Kangsar dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menanam 633 pokok di sekitar Bandar Diraja Kuala Kangsar sejak Januari lalu.

Melalui usaha permulaan ini, DYMM Paduka Seri Sultan Perak menyeru agar usaha ini disambut oleh semua pihak di seluruh daerah termasuk masjid, surau, institusi pendidikan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

“Bermula daripada 633 pokok yang ditanam pada Januari 2020, semoga dapat mencecah angka 10,000 pokok di Kuala Kangsar, dan mencecah 100,000 pokok di seluruh negeri pada Januari 2021.

“Merimbunkan kehijauan di Bandar Diraja ini, dan menghijaukan seluruh negeri Perak Darul Ridzuan hendaklah menjadi tanggungjawab kita bersama.” Titah baginda.

Sebanyak 36 spesis pokok ditanam yang turut terdiri daripada spesis yang kian terancam termasuk Merawan Siput, Beruas, Ara, Kelumpang Burung, Kopsia Arborea, Tembusu Tikus, Merlimau, Mata Pelanduk, Asam Gelugor, Sentul, Medang Pasir dan juga Rambai Istana.

Inisiatif penanaman pokok ini juga sejajar dengan hasrat Kerajaan untuk menjadikan Malaysia Negara Taman Terindah (NTT) 2020 serta turut selari dengan Fokus Ke-5 agenda Kerajaan Negeri Perak bagi tahun 2020, iaitu “Tindakan Bersama Bagi Menangani Perubahan Iklim” atau Climate Change dan ke arah Perak Green Plan.

Di samping itu, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Dato’ Azumu dalam sembah ucapannya turut menyatakan usaha kerajaan negeri yang giat dalam mengaplikasikan teknologi mesra alam dan menjadikan negeri Perak sebagai peneraju tindakan menangani perubahan iklim.

“Antaranya adalah dengan memberi fokus kepada penghasilan sumber tenaga yang boleh diperbaharui seperti pemasangan panel solar di premis-premis kerajaan dan syarikat GLC negeri, selain teknologi waste to energy.

“Usaha juga sedang digerakkan bagi mewujudkan program wakaf dan sumbangan panel solar untuk masjid-masjid dan rumah ibadat di negeri ini.” Tambahnya.

Beliau turut menyifatkan usaha tersebut sebagai serampang dua mata untuk menjana pendapatan kepada masjid-masjid dan rumah-rumah ibadat di negeri Perak.

Di samping itu, YAB Menteri Besar Perak turut memaklumkan kerajaan negeri kini dalam usaha menjadikan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas karbon dengan memperkenalkan kenderaan elektrik secara berperingkat.

Sebagai permulaan, kerajaan negeri telah meluluskan sejumlah peruntukan serta menerima bantuan khas peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi menukar kesemua teksi merah jambu di pulau berkenaan dengan van berkuasa elektrik.

Mengakhiri sembah ucapannya, YAB Menteri Besar Perak berharap agar semua pihak dapat bersama-sama menangani perubahan iklim dunia.

“Semoga semua inisiatif Kerajaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku ini akan menjadi satu langkah kecil kepada gerakan massa melibatkan semua pihak untuk bersama-sama bertindak bagi menangani perubahan iklim dunia.

“Justeru, kita perlu bertindak sekarang, agar kita dapat mewariskan sebuah dunia yang selamat untuk didiami oleh generasi akan datang,” katanya.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Gesa Komitmen Semua Tangani Isu Perubahan Iklim

DYMM Paduka Seri Sultan Perak mencemar duli berangkat ke Majlis Sambutan Hari Landskap Peringkat Negeri Perak.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Gesa Komitmen Semua Tangani Isu Perubahan Iklim

DYMM Paduka Seri Sultan Perak melawat pameran di sekitar majlis.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Gesa Komitmen Semua Tangani Isu Perubahan Iklim DYMM Paduka Seri Sultan Perak mencemar duli melawat ke pameran di sekitar majlis.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak Gesa Komitmen Semua Tangani Isu Perubahan Iklim

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyempurnakan penanaman pokok sebagai gimik Perasmian Hari Landskap Negeri Perak.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Gesa Komitmen Semua Tangani Isu Perubahan Iklim

Penyerahan anak pokok kepada Pegawai Daerah Kuala Kangsar.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Gesa Komitmen Semua Tangani Isu Perubahan Iklim

Ketua-ketua jabatan dan hadirin yang hadir memeriahkan Majlis Sambutan Hari Landskap Peringkat Negeri Perak.

Sumber : Korporat, SUK Perak.