Sabtu, 6 Jun 2020
 
  • Kemaskini Terakhir: 05 Jun 2020
 
lain
faq2 seperator hubungi2 seperator maklumbalas2 seperator peta2
Soalan Lazim Hubungi Kami Maklumbalas Peta Laman

Covid-19: Skim AgroPrihatin Dilancarkan, Bantu Petani Terkesan PKP.

YAB Menteri Besar Perak bersama rakan strategik Skim AgroPrihatin.

IPOH, 6 APRIL 2020 – Kerajaan Negeri Perak melancarkan Skim Agro Prihatin Negeri Perak (AgroPrihatin) untuk membantu para petani yang terkesan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Dato’ Azumu berkata menerusi skim ini Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) akan memperuntukkan dana berjumlah RM1 juta bagi membeli hasil-hasil pertanian terutama buah-buahan dan sayur-sayuran yang tidak terjual dari petani.

Pembelian akan dilakukan secara tunai bagi membantu kecairan modal segera bagi para petani khususnya petani yang berdaftar dengan Jabatan Pertanian Negeri Perak, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan PPPNP.

Tambah beliau, skim ini adalah berasaskan kepada kerjasama rakan strategik dan usaha strategik di antara Kerajaan Negeri melalui PPPNP dengan KLK Berhad, Agroto Business, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Selama dan Central Kitchen.

“Menerusi kerjasama ini, hasil pertanian yang dibeli oleh PPPNP akan dijual terus kepada rakan strategik iaitu KLK Berhad dan syarikat-syarikat perladangan sawit di negeri Perak untuk diagihkan kepada kakitangan mereka yang dianggarkan berjumlah dalam 10,000 orang.

“Syarikat korporat seperti Agroto Business berminat untuk memasarkan hasil pertanian ke pasar raya,” ujar beliau dalam satu kenyataan selepas melancarkan skim tersebut.

Turut hadir, YBrs. Tuan Haji Yahanis bin Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif PPPNP; YBrs. Puan Norsiyenti binti Othman, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Perak; YBrs. Encik Anuar bin Mohamad, Pengarah FAMA Negeri Perak dan YBrs. Encik Mohd Aini Ahmad, Pengurus Besar PPK Selama.

YAB Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Dato’ Azumu yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah PPPNP berkata, bagi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), hasil pertanian turut disalurkan kepada operator Central Kitchen seluruh negeri Perak untuk penyediaan makanan bermasak kepada para petugas barisan hadapan (frontliners) yang bertugas dalam operasi mengekang penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata, berdasarkan kepada data dari Jabatan Pertanian dan agensi-agensi pertanian negeri, pengeluaran hasil pertanian oleh para petani di Negeri Perak sehingga 14 April 2020 dianggarkan melebihi 13,000 tan metrik.

“Bagaimanapun, dianggarkan sehingga 30% daripada hasil pertanian ini tidak dapat dijual berikutan kurang permintaan dari pemborong, industri perhotelan dan rangkaian restoran susulan pelaksanaan PKP,” tambahnya

Justeru, beliau menyeru kepada para petani yang terjejas untuk berdaftar dengan Jabatan Pertanian Negeri Perak, FAMA Negeri Perak dan PPPNP untuk memudahkan urusan penyaluran bantuan.

“Semoga inisiatif Skim AgroPrihatin akan membantu meringankan beban para petani yang terjejas, seterusnya memastikan kelangsungan dan kestabilan bekalan produk pertanian di Negeri Perak pada masa hadapan,” tambahnya.

Maklumat lanjut berhubung Skim Agroprihatin ini boleh diperolehi dengan melayari laman sesawang dan laman Facebook agensi terbabit.

Covid-19: Skim AgroPrihatin Dilancarkan, Bantu Petani Terkesan PKP.

YAB Menteri Besar Perak ketika berucap semasa melancarkan Skim AgroPrihatin. Turut kelihatin, YBrs. Tuan Haji Yahanis Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif PPPNP.

Covid-19: Skim AgroPrihatin Dilancarkan, Bantu Petani Terkesan PKP.

YAB Menteri Besar Perak semasa perbincangan bersama rakan-rakan strategik inisiatif Skim AgroPrihatin.

Sumber : Korporat, SUK Perak.