Sabtu, 6 Jun 2020
 
  • Kemaskini Terakhir: 05 Jun 2020
 
lain
faq2 seperator hubungi2 seperator maklumbalas2 seperator peta2
Soalan Lazim Hubungi Kami Maklumbalas Peta Laman

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Zahir Penghargaan Buat Petugas Barisan Hadapan Hadapi Wabak Covid-19

Ketibaan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di dalam dewan.

IPOH, 12 Mei 2020 – DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan penghargaan kepada para petugas barisan hadapan khususnya kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menghadapi risiko wabak COVID-19.

Titah Baginda, walaupun prasarana perubatan sektor awam agak terbatas malah tidak dianggap berada dalam zon teratas dunia namun KKM berjaya membuktikan bahawa mereka mempunyai barisan petugas yang berpengalaman, berdedikasi serta komited menyempurnakan amanah masing-masing.

Titahnya lagi, dengan ketentuan Ilahi, mereka juga berjaya dalam menyembuhkan para pesakit serta meminimumkan angka kes kematian dan jangkitan COVID-19 dalam negara.

Ketika membacakan titah pada Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Tahun Ke-3, Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 Perak, di Bangunan Darul Ridzuan, Baginda turut menitahkan kesemua yang hadir supaya berdiri dan memberikan tepukan tanda apresiasi kepada wira-wira negara yang berada di barisan hadapan menangani ancaman virus Covid-19.

“Beta menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha menangani wabak COVID-19.

“Antaranya warga kerja Jabatan Kesihatan, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jawatankuasa Keselamatan Negeri, Pegawai Daerah, serta para penjawat awam yang masing-masing berperanan penting sebagai petugas barisan hadapan. “Begitu juga kepada Jabatan Penerangan, Jabatan Penyiaran dan badan-badan media yang berperanan penting menyampaikan maklumat, panduan dan nasihat melalui berita yang disiar dan dilaporkan. “Beta menghargai pelbagai bantuan dan sumbangan, berbentuk material, tenaga, perkhidmatan dan masa yang dihulurkan oleh pertubuhan-pertubuhan agama, pihak swasta, badan-badan profesional, badan bukan kerajaan (NGO), serta komuniti setempat dan individu,” titah Baginda.

Dalam pada itu, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut menyeru turut menyeru agar rakyat dapat memahami tujuan sebenar perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta terus mematuhi nasihat daripada KKM.

“Pengorbanan setiap seorang daripada warga amat diperlukan untuk membolehkan negara secepat mungkin berjaya menewaskan ancaman yang sedang menyerang kehidupan warga, yang menjejaskan alam pendidikan anak-anak di bilik darjah dan para siswa-siswi di dewan kuliah, serta yang mengganggu dunia pekerjaan warga,” titah Baginda lagi.

Selain itu, DYMM Paduka Seri Sultan Perak bertitah agar rakyat bersedia melakukan pengubahsuaian untuk menerima budaya kerja, budaya sosial dan budaya hidup yang baharu susulan penularan wabak COVID-19. 

Baginda bertitah budaya kerja dalam usaha membendung penularan dan meminimumkan pendedahan kepada virus akan merubah tingkah laku dan norma sosial serta bakal melahirkan 'kebiasaan baharu'.

"Cara bekerja, cara berurus niaga, cara mengurus kewangan, cara beribadah, cara keraian, cara berekreasi dan cara menjalani kehidupan seharian akan berubah," demikian titah baginda.

Titah baginda lagi, krisis yang sedang melanda telah mendedahkan hakikat bahawa negara masih belum mencapai status jaminan makanan sepenuhnya dan perkara itu wajib dijadikan agenda utama.

"Sektor pertanian terutama usaha pengeluaran makanan perlu dibangunkan secara saintifik dan lebih produktif, menggunakan teknologi dan peralatan moden serta dibangunkan oleh tenaga kerja muda yang dinamik, berpendidikan dan menguasai kemahiran pertanian terkini," titah baginda. 

DYMM Paduka Seri Sultan Perak juga bertitah negara sedang melalui fasa yang sangat mencabar dengan rakyat terutamanya mereka yang berpendapatan rendah sedang memamah kepahitan hidup dan diramalkan 2.4 juta pekerja sedang menghadapi kemuraman, kemungkinan diberhentikan kerja. 

“Membendung pandemik dengan secepat yang mungkin merupakan agenda paling utama.  Namun langkah-langkah mencegah penularan amat perlu diimbangkan supaya tidak mencetuskan darurat ekonomi yang sukar untuk dipulihkan selepas ini. 

"Mengaktifkan dan memulihkan aktiviti ekonomi agar kembali rancak pasca pandemik merupakan cabaran sangat besar,  doa, harapan dan hasrat setiap rakyat. Satu harapan yang perlu disusuli dengan dasar, langkah, program dan tindakan bijak oleh penggubal dasar dengan meletakkan sasaran fiskal, monetari serta kewangan yang strategik," titah baginda.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Zahir Penghargaan Buat Petugas Barisan Hadapan Hadapi Wabak Covid-19

Bacaan doa oleh Ustaz Zamri Hashim Timbalan Mufti Negeri Perak.

Sumber : Korporat, SUK Perak.