Sabtu, 18 November 2017
 
  • Kemaskini Terakhir:17 November 2017
 
lain

Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah
DYMM Paduka Seri Sultan Perak, berkenan mencemar duli berangkat menghadiri acara larian di Dataran Pavillion, Kuala Kangsar.

KUALA KANGSAR, 11 NOVEMBER 2016 - Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah mendapat sambutan menggalakkan apabila berjaya menarik minat penyertaan kira-kira 5,000 orang peserta dari dalam dan luar negeri.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut berkenan mencemar duli berangkat menghadiri acara larian yang bermula seawal jam 6.40 pagi di Dataran Pavillion, Kuala Kangsar. Turut berangkat menyertai baginda berdua ialah anakanda baginda iaitu YTM Raja Kecil Besar, Raja Azlan Muzaffar Shah dan Raja Nazira Safya.

Acara larian yang diadakan sempena sambutan ulang tahun DYMM Sultan Perak ini turut dihadiri YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry Bin Abd Kadir dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan yang menyertai larian bagi kategori VVIP sejauh 2 kilometer.

Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah kali ini turut diserikan dengan kehadiran pemenang pingat Sukan Paralimpik Rio 2016 negara iaitu Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Abdul Latif Romly dan Siti Noor Radiah Ismail serta pemenang pingat perak Sukan Olimpik, Cheong Jun Hoong.

Sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu larian 15 kilometer, larian 10 kilometer, larian 7 kilometer dan kategori VVIP sejauh 2 kilometer.  Pelepasan para peserta larian bagi kategori 15 kilometer, 10 kilometer dan 7 kilometer disempurnakan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Manakala bagi pelepasan peserta larian kategori VVIP 2 kilometer pula disempurnakan oleh adinda baginda, YTM Raja Dato’ Seri Yong Sofia binti Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah.

Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah DYMM Paduka Seri Sultan Perak, DYMM Raja Permaisuri Perak dan anakanda baginda Raja Azlan Muzaffar Shah dan Raja Nazira Safya memanaskan badan sebelum mencemar duli menyertai larian.
Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan DYMM Tuanku Zara Salim bersama-sama dif-dif kehormat menyertai acara larian bagi kategori VVIP.
Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah Pemenang pingat perak Sukan Olimpik, Cheong Jun Hoong dan pemenang pingat Sukan Paralimpik Rio 2016 negara Mohamad  Ridzuan Mohamad Puzi turut hadir ke program tersebut.
Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang.
Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah YAB Menteri Besar Perak dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri bersama-sama dif kehormat yang hadir ke Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah.

Sumber : Korporat, SUK Perak.