Jumaat, 21 Julai 2017
 
  • Kemaskini Terakhir:21 Julai 2017
 
lain

DYMM Sultan Perak Rasmi Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Perak

DYMM Sultan Perak melafazkan Lafaz Perasmian SMK Kampong Perak.

BATU KURAU, 20 APRIL 2017 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat mencemar duli bagi merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampong Perak. Turut berangkat DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; DYAM Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah serta DYAM Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Hadir sama YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry Abd Bin Kadir serta isteri YABhg. Datin Seri Saripah Binti Zulkifli, YB Menteri Pendidikan Dato’ Seri Mahdzir Bin Khalid serta YB Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang juga Anggota Parlimen Larut Dato’ Hamzah Bin Zainudin dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan.

SMK Kampong Perak, yang bernilai RM36 juta ini dimulakan pembinaannya pada 20 Januari 2011 di atas tapak seluas 10.6 hektar dan siap sepenuhnya pada 23 Ogos 2013. Sekolah yang mula beroperasi pada 1 Oktober 2013 ini mempunyai 537 orang pelajar, 49 orang guru dan dibantu 6 orang staf sokongan.

YB Menteri Pendidikan Dato’ Seri Mahdzir Bin Khalid dalam ucapan beliau sempena majlis perasmian sekolah tersebut berkata, kerjasama dalam kalangan warga pendidik khasnya di sekolah amat penting dalam usaha melahirkan insan cemerlang dalam akademik serta terbilang daripada segi sahsiah dan peribadi.

"Kini peranan dan tanggungjawab pendidik semakin mencabar. Para pendidik perlu menggunakan sepenuh komitmen dalam memikul tanggungjawab yang berterusan untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan anak didiknya,” kata YB Menteri Pendidikan Dato’ Seri Mahdzir Bin Khalid.

Menurut beliau lagi, para pendidik yang merupakan sebagai penggerak perlu mentransformasikan kaedah pengajaran dan sentiasa mengikut perkembangan pendidikan terkini dalam menjayakan perpaduan dan hasrat negara untuk merealisasikan Gagasan 1 Malaysia.

DYMM Sultan Perak Rasmi Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Perak

Keberangkatan tiba, DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim sempena Majlis Perasmian SMK Kampong Perak, Batu Kurau.

DYMM Sultan Perak Rasmi Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Perak

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mencemar duli menandatangani plak sebagai gimik perasmian SMK Kampong Perak, Batu Kurau.

DYMM Sultan Perak Rasmi Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Perak

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, mencemar duli melihat salah satu pameran robotik daripada pelajar SMK Kampong Perak.

DYMM Sultan Perak Rasmi Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Perak

DYMM Paduka Seri Sultan Perak dan DYMM Raja Permaisuri Perak mencemar duli melihat pameran yang turut diadakan di majlis tersebut..

Sumber : Korporat, SUK Perak.