Portal Rasmi Kerajaan Negeri Perak

Majlis Sambutan Jamuan Hari Raya Aidilfitri Pejabat Setiausaha Negeri Perak 2017 : 10 Julai 2017

Majlis Sambutan Jamuan Hari Raya Aidilfitri Pejabat Setiausaha Negeri Perak 2017

Kakitangan dari Bahagian Kerajaan Tempatan bergambar bersama YAB Menteri Besar Perak setelah dinobatkan selaku johan Pertandingan Gerai Tercantik.

IPOH, 10 JULAI 2017 – Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2017 Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak yang diadakan di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan disambut meriah dengan kehadiran kira-kira 2,000 orang tetamu yang terdiri daripada kakitangan awam Negeri Perak.

Majlis jamuan hari raya yang bertemakan “Meriahnya Raya” ini bermula pada jam 2.30 petang dan turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran YAB Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir.

Hadir sama, YB Yang Dipertua Speaker Perak, S Thangesvari, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat bin Mat Nayan, YB Penasihat Undang-Undang Negeri, YB Dato’ Rohana binti Abd. Malek, YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Mohd Gazali bin Jalal dan barisan EXCO kerajaan negeri.

Pelbagai jenis juadah disediakan sempena Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2017 kali ini seperti kambing golek, lemang, ketupat, rendang ayam, laksa pangkor, nasi briyani, roti jala, murtabak ayam, putumayam, lontong, mee rebus, kuey teow goreng, ais krim dan ais kacang.

Sempena Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2017 turut diadakan Pertandingan Gerai Tercantik dan Pertandingan Nyayian Lagu Raya 2017 anjuran Kelab Kesedar. Bagi pertandingan gerai tercantik, Bahagian Kerajaan Tempatan dinobatkan sebagai pemenang dengan hiasan dan tema kreatif yang ditampilkan, diikuti tempat kedua dari Bahagian Khidmat Pengurusan, gerai dari Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Perak di tempat ketiga manakala gerai dari Pejabat Kewangan Negeri dipilih selaku pemenang di tempat keempat dari 17 gerai yang mengambil bahagian.

Bagi pertandingan Nyanyian Lagu Raya 2017, penyanyi dari bahagian Khidmat Pengurusan, Zulfitrie Bin Zamri yang mendendangkan lagu Assalamualaikum Lebaran dinobatkan selaku johan pertandingan, manakala Muhammad Nor Fahmi yang juga dari Bahagian Khidmat Pengurusan menduduki tempat kedua dengan lagu Bersabarlah Sayang dan Nur Azizah Saadan dari Unit Perancang Ekonomi Negeri di tempat ketiga membawa lagu raya nyanyian penyanyi Rahimah Rahim, Selamat Hari Raya.

Kesemua hadiah kepada pemenang disampaikan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir di kemuncak majlis jamuan hari raya tersebut.

Majlis Sambutan Jamuan Hari Raya Aidilfitri Pejabat Setiausaha Negeri Perak 2017

YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir melawat gerai Bahagian Korporat yang menyediakan hidangan kuey teow goreng dan aiskrim.

Majlis Sambutan Jamuan Hari Raya Aidilfitri Pejabat Setiausaha Negeri Perak 2017

YAB Menteri Besar Perak bergambar bersama kakitangan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia.

Majlis Sambutan Jamuan Hari Raya Aidilfitri Pejabat Setiausaha Negeri Perak 2017

YAB Menteri Besar Perak bersama YB Setiausaha Kerajaan Negeri dan YB Pegawai Kewangan Negeri bergambar bersama kakitangan awam Negeri Perak yang hadir di majlis tersebut.

Majlis Sambutan Jamuan Hari Raya Aidilfitri Pejabat Setiausaha Negeri Perak 2017

YAB Dato' Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir ketika melawati gerai MAKSAK dan PUSPANITA yang menyediakan hidangan kambing golek.

Majlis Sambutan Jamuan Hari Raya Aidilfitri Pejabat Setiausaha Negeri Perak 2017

Pemenang-pemenang Pertandingan Nyanyian Lagu Raya 2017 sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Pejabat Setiausaha Negeri Perak.

Sumber : Korporat, SUK Perak.