Isnin, 23 Oktober 2017
 
  • Kemaskini Terakhir:20 Oktober 2017
 
lain

Tuanku Zara Salim Lancar Kapal Diraja (KD) Maharaja Lela

DYMM Tuanku Zara Salim berkenan merasmikan KD Maharaja Lela sambil diperhatikan DYMM Sultan Nazrin Shah.

LUMUT, 24 OGOS 2017 - Kapal pertama daripada enam unit Kapal Tempur Pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang siap dibina dan diberi nama Kapal Diraja (KD) Maharaja Lela dilancarkan di Pangkalan TLDM, di sini hari ini.

Upacara penamaan dan pelancaran kapal itu disempurnakan oleh DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim sambil disaksikan DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Pasangan Diraja itu serta tetamu kehormat turut menyaksikan pelepasan kapal tempur berkenaan ke laut buat pertama kalinya.

Turut hadir, YAB Menteri Besar Perak Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry Bin Abd Kadir; YB Menteri Pertahanan, Dato’  Seri Hishammuddin Bin Tun Hussein; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan dan YBhg Pengarah Urusan Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC), Tan Sri Ahmad Ramli Bin Mohd Nor.

Enam LCS itu dibina oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BN Shipyard), anak syarikat Boustead Holdings Berhad dan syarikat sekutu Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) dengan kos RM9 bilion.

Kapal LCS itu mempunyai keupayaan peperangan empat dimensi dengan daya tahan lasak mengatasi ancaman elektronik, udara, darat dan air serta sistem pengurusan peperangan terkini.

Antara ciri utama kapal itu ialah mempunyai kelajuan maksimum sehingga 28 knot dengan panjang keseluruhan kapal 111 meter serta dilengkapi beberapa senjata utama seperti sistem pelancar torpedo, sistem pelancar misil anti permukaan, sistem pelancar misil anti udara dan meriam kaliber sederhana bagi meningkatkan lagi kawalan keselamatan di perairan negara.

Sementara itu, Dato’ Seri Hishammuddin Bin Tun Hussein berkata perolehan nama Maharaja Lela dipilih sempena nama Dato' Maharaja Lela yang merupakan pahlawan Melayu tersohor tanah air yang memimpin perjuangan rakyat Perak bagi menentang penguasaan British di negeri ini.

Beliau berkata kapal tempur pertama itu membuktikan keupayaan dan kemampuan anak tempatan untuk bersaing dalam industri berat, khususnya teknologi ketenteraan.

"Ini kerana LCS pertama ini merupakan kapal kelas frigat yang pertama dibina sepenuhnya oleh syarikat tempatan, iaitu Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd.

Tan Sri Ahmad Ramli Bin Mohd Nor pula berkata, kapal itu merupakan kapal tempur terbesar dalam Armada TLDM kerana mempunyai reka bentuk senyap atau 'stealth' dan sulit untuk dikesan oleh peralatan radar.

"BN Shipyard berjaya membuktikan kemampuan negara untuk membina kapal perang berteknologi tinggi, setanding dengan kapal perang dimiliki negara maju," katanya.

Beliau berkata, kapal pertama itu amat istimewa kerana dibina sepenuhnya di limbungan BN Shipyard dengan menggunakan tenaga kerja dan kepakaran tempatan.

"Kapal tempur pertama itu akan diserahkan kepada TLDM pada April 2019 setelah menjalani proses ujian di pelabuhan dan di laut serta ujian penembakan," katanya.

Tuanku Zara Salim Lancar Kapal Diraja (KD) Maharaja Lela

DYMM Sultan Nazrin Shah berkenan menghadiri upacara perasmian KD Maharaja Lela.

Tuanku Zara Salim Lancar Kapal Diraja (KD) Maharaja Lela

DYMM Sultan Nazrin Shah bersama tetamu kehormat yang hadir pada pelancaran KD Maharaja Lela.

Tuanku Zara Salim Lancar Kapal Diraja (KD) Maharaja Lela

KD Maharaja Lela merupakan salah sebuah daripada enam unit Kapal Tempur Pesisir milik TLDM.

Tuanku Zara Salim Lancar Kapal Diraja (KD) Maharaja Lela

Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman memberikan penerangan kepada DYMM Sultan Nazrin Shah berkaitan KD Maharaja Lela.

Sumber : Korporat, SUK Perak.