Portal Rasmi Kerajaan Negeri Perak

Tuanku Nazrin Shah Lancar Buku Yahaya Ibrahim : Ikon Pendidikan Negara : 5 September 2017

Tuanku Nazrin Shah Lancar Buku Yahaya Ibrahim: Ikon Pendidikan Negara

DYMM Sultan Nazrin Shah berkenan merasmikan pelancaran buku Tan Sri Yahaya Bin Ibrahim merangkap ikon pendidikan negara.

TANJUNG MALIM, 5 SEPTEMBER 2017 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, guru memiliki pengaruh amat kuat dalam memupuk semangat muhibah dalam kalangan pelajar yang berlatarbelakangkan pelbagai agama, kaum dan budaya di negara ini.

Baginda bertitah, walaupun negara telah menyambut ulang tahun Hari Kebangsaan Ke-60, peranan memupuk perpaduan kaum, perlu terus diberikan keutamaan.

Mengambil contoh DYMM Permaisuri Tuanku Bainun yang merupakan lulusan Kirkby College, Sultan Nazrin Shah bertitah, bonda baginda mengamalkan sikap sangat terbuka serta menghormati sesiapa sahaja daripada pelbagai kaum dan agama.

Titah baginda, Tuanku Bainun juga telah menunjukkan contoh teladan baik termasuk membantu baginda serta adinda-adinda baginda untuk mengenali dunia lebih luas tanpa prasangka negatif dengan menjalin perhubungan persahabatan merentasi sempadan agama, kaum, budaya, politik dan negara.

“Falsafah yang dipegang dan peranan yang pernah dilaksanakan oleh para guru lulusan Kirkby College pada era pra dan pasca kemerdekaan hendaklah diteruskan hari ini oleh guru-guru di setiap bilik darjah dan sekolah di negara ini.

“Kekuatan dan kestabilan negara kita amat bergantung kepada semangat perpaduan kukuh yang berjaya dijalinkan dalam kalangan warga pendidik,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika melancarkan buku Yahaya Ibrahim: Ikon Pendidikan Negara di Dewan SITC, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.

Turut berangkat, DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim merangkap Canselor UPSI dan adinda Sultan Nazrin, Raja Dato’ Seri Eleena Almarhum Sultan Azlan Shah.

Hadir sama, YAB Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Zambry Bin Abd Kadir; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan; YBhg Pro-Canselor UPSI, Tan Sri Yahaya Bin Ibrahim dan YBhg Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar Bin Sabran.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin Shah bertitah, gagasan kepada pendidikan cemerlang didukung oleh warganya yang penuh berbakat, gigih dan tekun bekerja.

Sehubungan itu, titah baginda, guru yang terbilang berupaya menyalakan bara semangat pembelajaran yang tidak akan padam dalam kalangan pelajarnya.

“Guru yang namanya menjadi sebutan di hujung setiap lidah pelajar adalah guru yang berjaya memenangi hati pelajarnya.

“Guru-guru berdedikasi akan bekerja sepanjang masa demi memastikan anak didik mereka mencapai kejayaan lebih gemilang daripada diri mereka sendiri,” titah baginda.

Tuanku Nazrin Shah Lancar Buku Yahaya Ibrahim: Ikon Pendidikan Negara

DYMM Sultan Nazrin Shah berkenaan melakukan lawatan dalam majlis pelancaran buku ikon pendidikan negara di UPSI.

Tuanku Nazrin Shah Lancar Buku Yahaya Ibrahim: Ikon Pendidikan Negara

DYMM Sultan Nazrin Shah berkata sesuatu sambil diperhatikan YB Dato' Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan dan Tan Sri Yahaya Bin Ibrahim.

Tuanku Nazrin Shah Lancar Buku Yahaya Ibrahim: Ikon Pendidikan Negara

DYMM Sultan Nazrin bersama Ikon Pendidikan Negara, Tan Sri Yahaya Bin Ibrahim bergambar dengan tetamu kehormat yang hadir.

Tuanku Nazrin Shah Lancar Buku Yahaya Ibrahim: Ikon Pendidikan Negara

DYMM Sultan Nazrin Shah tiba pada majlis pelancaran buku tersebut.

Tuanku Nazrin Shah Lancar Buku Yahaya Ibrahim: Ikon Pendidikan Negara

Tan Sri Yahaya Bin Ibrahim berkata sesuatu kepada YAB Dato' Seri Diraja Dr Zambry Bin Abdul Kadir dalam majlis yang diadakan.

Sumber : Korporat, SUK Perak.