Sabtu, 18 November 2017
 
  • Kemaskini Terakhir:17 November 2017
 
lain

Venue Sukma Dijangka Siap Februari Tahun Depan

YB Dato' Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan tekun mendengar penjelasan daripada YBhg Dato' Zamri Bin Man mengenai projek naiktaraf yang dibuat di Stadium Ipoh sempena SUKMA ke-19 di Perak.

IPOH, 9 NOVEMBER 2017 - Kerajaan Negeri Perak memberi jaminan setiap kemudahan sukan bagi penganjuran Sukan Malaysia XIX Perak 2018, bakal siap sepenuhnya menjelang Februari 2018.

YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan berkata, sebanyak RM160 juta diperuntukkan Unit Perancang Ekonomi (EPU) sejak tahun lepas untuk memastikan proses baik pulih, menaik taraf dan pembinaan semua kemudahan baharu itu berjalan lancar.

“Semua proses baik pulih, naik taraf dan pembinaan kemudahan baharu itu akan siap secara berperingkat dan meliputi semua kemudahan seperti Stadium Ipoh, Pusat Akuatik, Kompleks Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Stadium Indera Mulia dan lain-lain yang akan digunakan pada Sukma nanti.

”Jangkaan kita, semua kemudahan ini akan siap pada Februari atau selewat-lewatnya awal April tahun depan,” ujar beliau pada sidang media selepas melawat beberapa venue Sukma 2018, di sini, hari ini.

Sukma 2018 yang dijangka berlangsung selama 11 hari bermula 12 September, akan mempertandingkan 29 acara dan 27 venue akan digunakan sebagai gelanggang pertandingan.

Beliau berkata, selain Ipoh, pihaknya turut akan mengadakan lawatan ke Taiping dan Manjung dalam masa terdekat bagi melihat sendiri proses menaik taraf dan membaik pulih yang dijalankan di venue berkenaan. “Di Taiping, kita akan adakan acara judo, berbasikal, bola jaring, golf dan bola sepak manakala di Manjung membabitkan pelayaran serta futsal,” katanya.

Sementara itu, YB Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri Perak, Dato’ Shahrul Zaman Bin Yahya berkata, kejohanan pra Sukma akan diadakan sekitar Jun tahun depan, di beberapa venue bertujuan memastikan ia mencapai spesifikasi yang ditetapkan.

“Ia sebagai satu proses percubaan dalam memastikan kemudahan yang terdapat di beberapa venue itu selamat dan boleh digunakan untuk Sukma,” katanya.

Mengenai beberapa acara yang akan diadakan di luar Ipoh, beliau berkata pendekatan itu sebagai salah satu usaha kerajaan negeri untuk merakyatkan sukan dalam kalangan masyarakat di Perak, dan idea itu dicetuskan sendiri YAB Menteri Besar Perak Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Bin Abd Kadir.

Venue Sukma Dijangka Siap Februari Tahun Depan

YB Dato' Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan sedang mengatakan sesuatu kepada kontraktor berkaitan.

Venue Sukma Dijangka Siap Februari Tahun Depan

Antara kerja-kerja naiktaraf yang diperincikan kepada tetamu yang hadir dalam lawatan tersebut.

Venue Sukma Dijangka Siap Februari Tahun Depan

YB Dato' Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan ketika melakukan lawatan di venue yang bakal menempatkan acara skuasy dan badminton sempena SUKMA Ke-19 .

Venue Sukma Dijangka Siap Februari Tahun Depan

YB Dato' Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan sedang menjelaskan tentang projek naiktaraf yang dijalankan di Stadium Indera Mulia.

Venue Sukma Dijangka Siap Februari Tahun Depan

Antara alatan yang akan digunakan bagi projek menaiktaraf venue SUKMA di Perak.

Sumber : Korporat, SUK Perak.