Portal Rasmi Kerajaan Negeri Perak

Penduduk Perlu Tubuh KRT : 6 Januari 2018

Penduduk Perlu Tubuh KRT

YAB Menteri Besar Perak melawat persekitaran flat yang dipenuhi longgokan sampah.

IPOH, 6 JANUARI 2018 - Kerajaan negeri mahu penduduk rumah pangsa Taman Pertama Buntong di sini, menubuhkan jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) bagi mengatasi isu timbunan sampah sarap dan keselamatan di kawasan berkenaan.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Diraja Dr Zambri Bin Abd Kadir berkata, ia langkah awal bagi memastikan penghuni rumah pangsa berusia 30 tahun itu bertanggungjawab dan bekerjasama menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul.

Beliau berkata, pihaknya berasa amat kecewa apabila melihat timbunan sampah sarap yang terdapat di kebanyakan tempat di kawasan itu selain langsung tidak dipedulikan oleh penduduk setempat.

"Sangat mengejutkan apabila melihat kawasan perumahan itu seperti tempat pembuangan sampah. Sampah bukan hanya di dalam corong pembuangan sampah, tetapi merata-rata kawasan.

"Kita tidak mahu menuding jari dan menyalahkan mana-mana pihak, tetapi semua termasuk wakil rakyat perlu bekerjasama dan bertanggungjawab bagi menyelesaikan masalah ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika membuat lawatan kerja di program gotong-royong di rumah pangsa berkenaan di sini, hari ini.

Turut hadir, YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Dato’ Rusnah Binti Kassim dan YBhg Dato’ Bandar Ipoh, Dato’ Zamri Bin Man.

Menurut beliau, tindakan lawatan dan program pembersihan dilaksanakan di kawasan berkenaan selepas menerima maklum balas menerusi laporan di media sosial dan orang ramai.

Beliau berkata, masalah perumahan itu tidak hanya berkaitan sampah-sarap, tetapi turut membabitkan pelbagai faktor seperti sosial, kejiranan dan keselamatan.

"Kita akan duduk bersama ahli Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan sebagainya untuk melihat dan menyelesaikan masalah ini secara keseluruhan," katanya.

Kata beliau, walaupun kawasan itu difahamkan dalam kawasan persendirian, masalah yang dikenal pasti tetap akan memberi kesan kepada masyarakat setempat.

"Dimaklumkan terdapat 280 unit kediaman dengan hanya 127 rumah berpenghuni. Sebahagian lagi kosong dan terbiar," katanya.

Penduduk Perlu Tubuh KRT

Ucapan daripada YB Dato' Hajjah Rusnah Binti Kassim, sempena program gotong- royong terbabit.

Penduduk Perlu Tubuh KRT

YAB Menteri Besar Perak turut serta membersihkan persekitaran flat tersebut.  

Penduduk Perlu Tubuh KRT

Keadaan persekitaran di Flat First Garden yang dipenuhi sampah sarap.

Penduduk Perlu Tubuh KRT

YAB Dato' Seri Zambry Bin Abd Kadir ketika mengadakan lawatan di beberapa tempat sekitar flat tersebut yang dipenuhi sampah-sarap.

Penduduk Perlu Tubuh KRT

Pekerja Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) turut sama membantu dalam  gotong- royong yang dijalankan.

Sumber : Korporat, SUK Perak.