Portal Rasmi Kerajaan Negeri Perak

Majlis Executive Talk & Perutusan Tahun Baru 2018 YAB Menteri Besar Perak : 9 Januari 2018

Majlis Executive Talk & Perutusan Tahun Baru 2018 YAB Menteri Besar Perak

YAB Menteri Besar Perak dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak ketika melafazkan ikrar integriti penjawat awam.

IPOH, 9 JANUARI 2018 - Sempena Majlis Executive Talk & Perutusan Tahun Baru 2018 yang diadakan di Ipoh Convention Centre, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry Bin Abd Kadir menekankan beberapa aspek yang perlu diberi fokus pada tahun 2018. Berikut adalah 10 fokus utama yang disentuh beliau:

  1. Kerjasama

Agensi Persekutuan dan negeri perlu meningkatkan kerjasama dalam memastikan pembangunan di Negeri Perak dapat dilaksanakan dengan baik sepanjang tahun ini.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Bin Abd Kadir berkata, tiada sebab perkara itu sukar untuk dilaksanakan walaupun ada sesetengah agensi tertakluk dibawah bidang kuasa kementerian diperingkat pusat.

“Kita berada dalam satu negeri dan kita beri khidmat kepada negeri walaupun secara aturannya kedudukan kementerian atau jabatan di bawah Pusat tetapi persefahaman perlu ada antara agensi Persekutuan dan negeri,” kata YAB Menteri Besar.

 

  1. Kerahsiaan

YAB Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Bin Abd Kadir mengingatkan semua penjawat awam supaya merahsiakan segala maklumat penting berkaitan kerajaan negeri daripada mana-mana pihak tidak berkepentingan.

 “Kita tidak boleh langsung bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang menjual kerahsiaan kerajaan dan juga yang bertindak untuk cuba menjahanamkan kerajaan. Kerajaan memang bertegas dan perkara ini perlu diingatkan berulang kali,” kata beliau.

 

  1. Kesinambungan

YAB Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Bin Abd Kadir merakamkan penghargaan kepada semua penjawat awam yang telah membantu dalam meneruskan kesinambungan terutama dari sudut pengurusan dan pentadbiran kerajaan negeri hingga mencapai tahap terbaik.

“Saya ucapkan tahniah kepada semua yang telah membantu dalam meneruskan kesinambungan pengurusan-pengurusan kita yang terbaik ini,” kata YAB Menteri Besar Perak.

 

  1. Komitmen

YAB Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir menegaskan kerajaan telah melaksanakan janji yang diikrarkan termasuk menjadikan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai.

Menurut beliau, meskipun berdepan pelbagai cabaran ia tidak melunturkan semangat kerajaan untuk terus memimpin rakyat sama ada di peringkat negeri atau pusat.

“Kita juga minta kepada semua supaya maklumkan kepada kami jika ada sebarang benda yang belum dilaksanakan agar ia boleh diperhalusi dan diselesaikan,” kata beliau.

 

  1. Kebersihan

YAB Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Bin Abd Kadir meminta pihak berwajib supaya sentiasa menjaga kebersihan di kawasan masing-masing kerana ia menjadi tunjang utama dalam peradaban manusia.

Beliau berkata, penjagaan kebersihan secara optimum juga akan memperlihatkan ketinggian keperibadian seseorang individu dan kemajuan sesebuah negara.

“Kalau kita boleh menjaga kebersihan dengan baik, perkara itu akan menggambarkan keperibadian kita, negara dan tamadun kita. Itu yang saya katakan ia menjadi tunjang dalam peradaban manusia,” kata beliau.

 

  1. Keberhasilan

YAB Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Bin Abd Kadir mahu setiap penjawat awam memastikan kerja-kerja yang menyumbang kepada keberhasilan negeri diteruskan sepertimana tahun-tahun terdahulu.   

“Keberhasilan tentang hasil-hasil output (pengeluaran), apa yang kita dah dapat, apa yang perlu kita usahakan, kita perlu teruskan,” kata beliau.

 

  1. Ketepatan Bahasa

YAB Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Bin Abd Kadir meminta kakitangan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya menggunakan Bahasa Melayu dalam sebarang urusan rasmi kerajaan.

Beliau berkata, perkara itu ditekankan kerana sebelum ini dikesan ada pihak menggunakan perkataan bahasa Inggeris yang kurang tepat dalam melaporkan informasi kepada umum.

“Jangan ulanginya, kalau anda nak buat juga pastikan ia disemak oleh orang yang bertanggungjawab,” kata YAB Menteri Besar.

 

  1. Kelestarian Khazanah

YAB Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Bin Abd Kadir menjelaskan Perak merupakan antara negeri yang mempunyai rizab hutan tertinggi di Semenanjung Malaysia.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga meminta supaya aktiviti penanaman pokok-pokok di beberapa kawasan seluruh negeri diteruskan.

“Kita harus berbangga dengan apa yang kita ada kerana sekarang ini dan pada masa sama kita juga sentiasa menitikberatkan pembangunan yang bersifat mesra alam,” kata YAB Menteri Besar.

 

  1. Kecergasan

YAB Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Bin Abd Kadir berharap kontinjen negeri yang bakal beraksi di Sukan Malaysia (SUKMA) pada September depan supaya fokus dalam usaha membantu Perak muncul juara.

Beliau berkata, sokongan semua pihak amat bermakna dalam memastikan hasrat berkenaan tercapai.

“Pastikan Perak kali ini mendapat kejayaan cemerlang dalam sukan sukma kita. Sokongan anda semua amat diperlukan dalam menjayakan sukan tersebut.,” kata YAB Menteri Besar.

 

  1. Kesediaan

YAB Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Bin Abd Kadir berharap setiap urusan pentadbiran dan pengurusan kerajaan negeri dilakukan dengan sebaiknya.

Beliau berkata, ia penting dalam memacu perak ke arah yang lebih cemerlang setanding negeri-negeri maju lain.

Majlis Executive Talk & Perutusan Tahun Baru 2018 YAB Menteri Besar Perak

YAB Dato' Seri Diraja Dr Zambry Bin Abd Kadir ketika berucap dalam Bicara Eksekutif dan Perutusan Tahun Baharu 2018.

Majlis Executive Talk & Perutusan Tahun Baru 2018 YAB Menteri Besar Perak

YAB Menteri Besar ketika beramah mesra dengan kakitangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam majlis yang berlangsung.  

Majlis Executive Talk & Perutusan Tahun Baru 2018 YAB Menteri Besar Perak

YB Setiausaha Kerajaan Negeri beramah mesra dengan ketua jabatan yang hadir dalam program tersebut.

Majlis Executive Talk & Perutusan Tahun Baru 2018 YAB Menteri Besar Perak

YAB Menteri Besar bersama anggota keselamatan dan kakitangan kerajaan negeri yang hadir dalam majlis berkenaan.

Majlis Executive Talk & Perutusan Tahun Baru 2018 YAB Menteri Besar Perak

Sebahagian besar pegawai dan kakitangan kerajaan negeri  melafazkan ikrar integriti.

Sumber : Korporat, SUK Perak.