Isnin, 22 Oktober 2018
 
  • Kemaskini Terakhir: 22 Oktober 2018
 
lain

 Pembinaan Hospital Kerian Selewat-Lewatnya Jun 2018

YB Dato' Seri Abdul Puhat ketika menyampaikan ucapan dalam program yang berlangsung.

BAGAN SERAI, 8 FEBRUARI 2018 - Kerja pembinaan fasa ketiga Hospital Daerah Kerian bakal dimulakan selewat-lewatnya Jun 2018.

YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato' Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan berkata, pembinaan hospital yang menjadi kontroversi dalam kalangan penduduk daerah Kerian akan tetap ditunaikan pihak kerajaan, meskipun terdapat pihak meraguinya.

Menurut beliau, pihaknya sendiri akan membawa YB Menteri Kerja Raya, Dato' Seri Fadillah Bin Yusof bulan hadapan bagi menyempurnakan upacara pelaksanaan kerja memasang cerucuk bangunan, menandakan komitmen kerajaan pusat untuk membinanya.

"Kerajaan negeri di bawah YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Diraja Dr Zambry Bin Abdul Kadir akan tetap menunaikan janji membina hospital (Daerah Kerian) dan kerja pembinaannya pun sebenarnya akan dimulakan bila-bila masa.

"Pembinaan hospital dijamin bakal dimulakan selewat-lewatnya Jun 2018," kata beliau sewaktu berucap pada Taklimat Pembangunan Negeri Perak kepada Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung(JKKK) Daerah Kerian di Dewan Dato' Zainal Abidin Zin.

Turut hadir YB Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Dato' Sham Mat Sahat dan YBrs Pegawai Khas Menteri Besar Perak, Dato' Abu Bakar Bin Md Ali.

Sebelum ini, laporan daripada media tempatan mendakwa Hospital Daerah Kerian yang memberi manfaat kepada lebih 120,000 penduduk sekitar Daerah Kerian dijangka siap menjelang 2021.

Fasa satu dan dua yang melibatkan kerja-kerja tanah projek tersebut telah siap tahun lalu manakala pembinaan bangunan hospital dijangka dimulakan tahun ini.

Mengenai fungsi JKKK dalam melaksanakan tugas membantu kerajaan negeri, beliau menegaskan, kesemua pemimpin JKKK perlu memainkan peranan penting dalam membangunkan sektor luar bandar.

Tambah beliau, pemimpin JKKK adalah merupakan satu jentera penting yang menghubungkan kerajaan negeri, pegawai agensi kerajaan dan penduduk kampung dalam menyampaikan dasar-dasar kerajaan ke peringkat akar umbi.

"JKKK kena faham dasar-dasar kerajaan negeri dan di Perak, majoriti pemimpin JKKK memahami aspirasi itu.

"Kerajaan negeri turut berharap JKKK menjalinkan hubungan erat dengan kakitangan kerajaan dan masyarakat supaya peranan sebagai penghubung antara agensi kerajaan dan rakyat dapat dijalankan dengan lancar," ujar beliau.

 Pembinaan Hospital Kerian Selewat-Lewatnya Jun 2018

YB Dato' Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan beramah mesra dengan masyarakat setempat yang hadir dalam program tersebut.

 

 Pembinaan Hospital Kerian Selewat-Lewatnya Jun 2018

YB Dato' Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan bersama penjawat awam dan masyarakat sekitar Bagan Serai yang menghadiri program tersebut.  

 Pembinaan Hospital Kerian Selewat-Lewatnya Jun 2018

YB Dato' Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan ketika menghadiri program yang dilangsungkan.

 Pembinaan Hospital Kerian Selewat-Lewatnya Jun 2018

YB Dato' Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan ketika menyampaikan cenderahati kepada salah seorang penerima yang menghadiri program tersebut.

Sumber : Korporat, SUK Perak.