Portal Rasmi Kerajaan Negeri Perak

Peneroka Hendaklah Berganding Bahu Meneroka Dan Usaha Khazanah Felda Yang Berpotensi.: 7 Julai 2020

Peneroka Hendaklah Berganding Bahu Meneroka Dan Usaha Khazanah Felda Yang Berpotensi

Ucapan Perasmian YAB Perdana Menteri Malaysia.

TAPAH, 7 Julai 2020– YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak semua peneroka supaya bersama-sama berganding bahu meneroka dan mengusahakan khazanah tanah rancangan Felda yang mempunyai pelbagai potensi. 

Beliau berkata Felda yang memiliki tanah pertanian yang luas, berpotensi besar untuk menjadi peneraju utama sektor pertanian pintar dan pengeluaran makanan di negara ini.

"Saya percaya jika potensi ini dapat dibangunkan sepenuhnya, Felda akan menjadi antara pengeluar makanan utama negara dan mewujudkan jaminan bekalan makanan yang stabil di samping menjadi pengeluar komoditi utama negara,

"Saya juga ingin melihat Felda bangkit sebagai pemangkin dan peneraju industri makanan berskala besar dengan menggerakkan aktiviti perladangan berteraskan pertanian pintar dan aktiviti hiliran yang inovatif,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Peneroka Felda 2020 Peringkat Kebangsaan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda, Kampung Tun Abdul Razak di Sungkai, di sini hari ini. 

Dalam masa yang sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Dato’ Azumu mengumumkan peruntukan sejumlah RM500,000 telah diluluskan  kepada Felda Zon Trolak, Sungkai bagi menjalankan kerja-kerja pencegahan pembasmian ulat pemakan daun sawit yang dihadapi tanah rancangan itu.

“Pada tahun lepas, sebanyak RM300,000 juga telah diperuntukkan kepada Felda Gugusan Besout, di sini, bagi tujuan yang sama dan pada tahun ini RM500,000 untuk Felda Zon Trolak,” kata beliau dalam ucapannya.

Selain itu, YAB Menteri Besar Perak berkata kerajaan negeri telah menyelesaikan pemberian hak milik tanah kepada 5,776 daripada 5,917 peneroka Felda di seluruh negeri ini manakala baki 141 lagi peneroka dijangka diselesaikan tahun ini.

“Tiga bulan selepas menjawat jawatan Menteri Besar, saya turun ke Felda Nenering di Gerik untuk sampaikan geran hak milik tanah kepada 140 peneroka.  Pada Disember 2018, saya telah turun ke Felda Zon Trolak iaitu di Felda Sungai Behrang untuk sampaikan sendiri hak milik tanah kepada baki peneroka yang masih menunggu geran masing-masing,” katanya.

Dalam masa yang sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal turut menyatakan negeri Perak amat bertuah setelah dipilih sebagai negeri pertama menerima kunjungan sulung YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan pada 29 Februari lepas.

Peneroka Hendaklah Berganding Bahu Meneroka Dan Usaha Khazanah Felda Yang Berpotensi

YAB Perdana Menteri Malaysia Dato' Seri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dif-dif kenamaan tiba di majlis.

Peneroka Hendaklah Berganding Bahu Meneroka Dan Usaha Khazanah Felda Yang Berpotensi

YAB PM dan tetamu jemputan melawat ke tapak pameran usahawan.

Peneroka Hendaklah Berganding Bahu Meneroka Dan Usaha Khazanah Felda Yang Berpotensi

Gimik Pelancaran FELDA Trolak sebagai Lembah HERBA.

Peneroka Hendaklah Berganding Bahu Meneroka Dan Usaha Khazanah Felda Yang Berpotensi

Antara pengunjung yang hadir di majlis tersebut.

Sumber : Korporat, SUK Perak.