Isnin, 18 Disember 2017
 
  • Kemaskini Terakhir:18 Disember 2017
 
lain

Kakitangan SUK Perak Dilarang Bocor Maklumat Kerajaan

Bacaan ikrar turut menjadi intipati penting dalam himpunan bulanan tersebut.

IPOH, 23 NOVEMBER 2017- Kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak perlu meningkatkan integriti termasuk tidak membocorkan maklumat atau dokumen yang tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi.

YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan berkata, setiap penjawat awam harus memegang amanah dan mengekalkan integriti dalam diri masing-masing.

Menurutnya, sebagai kakitangan yang telah dipertanggungjawabkan, segala rahsia kerajaan perlu disimpan dengan sebaik mungkin khususnya daripada pengetahuan pihak luar.

“Sila pastikan tiada kebocoran maklumat berlaku sama ada secara sengaja atau sebaliknya.

“Pada kita, maklumat yang ada mungkin tiada makna bagi kita, tetapi tidak pada orang lain, yang mahukannya (maklumat) untuk kepentingan diri,” katanya.

“Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Warga Perkhidmatan Awam Bangunan Perak Darul Ridzuan 2017 di Dewan Serbaguna Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Hadir sama Pegawai Kewangan Negeri Perak, YB Dato’ Haji Mohd Ghazali Bin Jalal, Penasihat Undang-Undang Negeri, YB Dato’ Rohana Binti Abd. Malek, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), YBhg. Dato’ Abu Bakar Bin Haji Said dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Puan Nor Eni Binti Ismail.

Beliau berkata, kebocoran maklumat berkaitan kerajaan juga boleh dielakkan sekiranya semua penjawat awam memikul amanah yang dipertanggungjawabkan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kakitangan awam perlu jujur dan tidak mengkhianati dasar dan prinsip dalam bidang tugas masing-masing yang boleh mendatangkan impak negatif serta mencemarkan imej jabatan.

Beliau turut menasihatkan golongan itu agar berusaha memenuhi aspirasi kerajaan bagi memastikan peranan mereka sebagai jentera menerajui barisan hadapan dalam memberi perkhidmatan yang baik dan cemerlang kepada rakyat sentiasa dipandang tinggi.

Sempena majlis tersebut, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan turut menyampaikan hadiah kepada pemain sepak takraw yang telah mendapatkan tempat sebagai naib johan di dalam liga Sepak Takraw League 2017 (STL).

Beliau juga turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang yang menyertai Sukan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Festival Kesenian MAKSAK 2017.

Kakitangan SUK Perak Dilarang Bocor Maklumat Kerajaan

Himpunan bulanan yang dihadiri sebahagian kakitangan SUK Perak .

Kakitangan SUK Perak Dilarang Bocor Maklumat Kerajaan

YB Dato’ Rohana Binti Abd. Malek dan YBhg. Dato’ Abu Bakar Bin Haji Said ketika memotong kek hari jadi bagi meraikan segelintir kakitangan SUK Perak yang menyambut hari lahir.

Kakitangan SUK Perak Dilarang Bocor Maklumat Kerajaan

YB Dato' Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan bersama pemain skuad bola jaring SUK Perak yang berjaya memenangi tempat pertama dalam kejohanan Sukan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Perak 2017.

Kakitangan SUK Perak Dilarang Bocor Maklumat Kerajaan

YB Dato' Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan bersama pemain Perak Bison yang memenangi tempat ketiga dalam Sepak Takraw League 2017.

Kakitangan SUK Perak Dilarang Bocor Maklumat Kerajaan

Antara kakitangan SUK Perak yang berjaya memenangi tempat pertama dalam kategori Kumpulan Muzik Moden di Festival Kesenian MAKSAK 2017.

Sumber : Korporat, SUK Perak.