Sejarah SUK

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak ditubuhkan pada tahun 1948 melalui Perjanjian Perak di antara Sultan Abdul Aziz Al-Mutasim Billah Shah dengan Sir Gerard Edward J. Gent pada 21 Januari 1948. Melalui perjanjian ini, satu undang-undang perlembagaan Perak telah dibentuk pada 1 Februari 1948. Perlembagaan ini menggariskan hak-hak dan kuasa Sultan serta memperuntukkan satu pentadbiran Kerajaan yang terdiri daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan dan Majlis Mesyuarat Negeri sebagai badan yang bertanggungjawab untuk membantu dan menasihati Sultan di dalam menjalankan tugasnya.

Perlembagaan ini memperuntukkan perlantikan Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri, dan Pegawai Kewangan Negeri dengan kuasa pelantikannya oleh Sultan. Ketiga-tiga ahli ex-officio ini bersama dua lagi ahli ex-officio yang lain iaitu Penasihat British dan Penasihat Undang-undang, adalah merupakan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dengan mempunyai seorang ahli rasmi. Majlis Mesyuarat Negeri pula terdiri daripada Menteri Besar sebagai Presiden dan empat orang ahli ex-officio iaitu Penasihat British, Setiausaha Kerajaan Negeri dengan mempunyai 10 orang ahli rasmi dan 19 orang ahli tidak rasmi.

Menteri Besar Perak yang pertama dilantik (sebelum Merdeka) ialah Tuan Haji Abdul Wahab bin Toh Muda Abdul Aziz dan Setiausaha Kerajaan Negeri ialah Che Ahmad bin Osman. Fungsi Pejabat Setiausaha Kerajaan Perak ialah merancang, menggerak, mengurus, menyelaras, dan mengawal semua jentera pembangunan ekonomi dan sosial negeri melalui perkhidmatan yang bersih, cekap, dan amanah. Pejabat Setiausaha Kerajaan Perak juga menentu dan menyelaraskan perlaksanaan dasar mengenai aktiviti-aktiviti negeri meliputi perancangan dan pembangunan, keselamatan, aktiviti-aktiviti Jabatan Kerajaan, badan-badan Berkanun dan Kuasa-kuasa Tempatan Negeri, perkhidmatan kakitangan, dan hal ehwal lain dalam negeri.