Skip to main content

Belia Pewaris Kepimpinan Negara.

YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad menyempurnakan gimik perasmian.

IPOH, 18 Mei 2024 - Sebagai pewaris kepimpinan negara, peranan belia tidak boleh sama sekali dipinggirkan, sebaliknya perlu dilibatkan secara langsung dalam agenda pembangunan negara.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad berkata demikian ketika merasmikan Karnival Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Perak 2024 di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Perak.

“Imam Hasan Al-Basri, cendekiawan Islam tersohor, pernah berkata, "Pemuda adalah harapan umat. Apabila pemudanya baik, baiklah seluruh umatnya. Apabila pemudanya rosak, maka rosaklah seluruh umatnya”.

“Kata-kata ini membayangkan betapa besarnya peranan belia sebagai cerminan generasi akan datang. Ke mana hala tuju negeri akan dikemudi juga terletak pada kebijaksanaan generasi belia hari ini,” jelasnya.

Dalam perkembangan yang sama, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad berkata, Pelan Perak Sejahtera 2030 akan ditambah baik termasuk penambahan tiga agenda baharu kepada enam agenda sedia ada.

“Usaha ini dapat dilihat sebagai kad laporan tahunan, kerana Pelan Perak Sejahtera 2030 ini merupakan pelan yang bersifat dinamik.

“Jika ada perkara-perkara yang perlu diubah, kita akan ubah. Mana-mana hal yang mungkin dilihat perlahan (perkembangannya), kita akan cuba mempertingkatkan. Itu tujuannya,” katanya.

Tambahnya lagi, perincian tersebut akan diumumkan pada Majlis Pelaburan Tahunan Perak Sejahtera 2030 di Manjung pada 15 Jun 2024.

Beliau menyifatkan tema “Yakin Boleh” adalah bertepatan untuk menggambarkan kepentingan keyakinan diri dalam kalangan belia untuk mendepani cabaran dan ekspetasi masa hadapan.

Hadir sama, YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin; YB Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri, Encik Khairudin bin Abu Hanipah; YB Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Puan Sandrea Ng Shy Ching dan Presiden Majlis Belia Negeri (MBN) Perak, Encik Muhammad Puhaz bin Saleh.

Mengakhiri majlis, beliau menyampaikan anugerah kepada 16 orang belia melibatkan Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) kategori pertubuhan belia, individu lelaki dan individu wanita serta tujuh anugerah tambahan iaitu Anugerah Khas Belia Karisma, Anugerah Wirausaha, Anugerah Wirausahawan, Anugerah Daya Maju, Anugerah Relawan Muda, Anugerah Penggiat Sukan dan Anugerah Permata Budi.

Johan bagi APBN kategori individu lelaki adalah Muhammad Kamal Syukri bin Kamarudin dan bagi kategori individu wanita pula adalah Nor Athirah Solehah binti Azlan. Masing-masing membawa pulang wang tunai bernilai RM3,000 dan sebuah trofi.

Manakala, johan bagi kategori pertubuhan belia adalah Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Cawangan Bagan Datuk yang membawa pulang wang tunai RM10,000 dan sebuah trofi.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 22 May 2025, 09:50:19.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.