Skip to main content

Majlis Executive Talk Dan Perutusan Tahun Baru 2025 Yab Menteri Besar Perak

YAB Menteri Besar Perak ketika Majlis Executive Talk dan Perutusan Tahun Baru 2025

IPOH, 23 Januari 2025 – YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak, telah menggariskan lima fokus utama sebagai agenda penting kerajaan negeri pada tahun 2025 sempena Majlis Executive Talk dan Amanat Tahun Baharu 2025.

Kesemua lima fokus tersebut merupakan kunci kepada agenda penting yang akan dijayakan oleh kerajaan negeri dengan berpandukan saranan dan pengharapan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah sebagai sandaran kepada ikhtiar dalam menjayakan pelan Perak Sejahtera 2030.

Lima fokus tersebut adalah seperti berikut:

  1. Ekonomi Mapan dan Berkelanjutan

Negeri Perak akan terus fokus dalam melebarkan inisiatif ekonomi strategik melalui pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi, inovasi teknologi, dan diversifikasi sumber pendapatan dalam menjadikan Perak sebagai penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi negara.

  1. Sistem Penyampaian Berimpak Tinggi

Tadbir urus dan ekosistem sistem penyampaian perlu sentiasa ditambahbaik bagi memastikan pembangunan yang lebih berkesan dan berimpak tinggi. Antara yang perlu diberi perhatian ialah:

  • Mengurangkan birokrasi yang melambatkan pelaburan dan memperkenalkan prosedur perniagaan yang lebih mudah untuk menarik pelabur asing dan domestik.
  • Meningkatkan ketelusan dalam pengurusan sumber awam dan memastikan pelaksanaan projek berjalan dengan berkesan untuk manfaat rakyat.
  • Kerjasama erat antara kerajaan negeri dan persekutuan untuk mendapatkan sokongan bagi pembangunan infrastruktur besar-besaran serta menarik lebih banyak pelaburan strategik ke Perak.
  1. Menggilap Modal Insan Menuju Perak Sejahtera 2030

Kerajaan Negeri Perak bertekad menjadikan negeri ini sebagai Koridor TVET Negara dengan ekosistem pendidikan teknikal yang menyeluruh. Perak sedang melangkah ke hadapan untuk muncul sebagai pusat kecemerlangan TVET, bukan hanya untuk keperluan tempatan, tetapi juga sebagai rujukan nasional.

  1. Teknologi dan Inovasi Pemacu Perubahan

Dalam konteks negeri Perak, teknologi perlu menjadi jambatan yang menghubungkan kegemilangan silam dengan aspirasi masa depan.

Oleh itu, Pelan Transformasi Digital Negeri Perak akan memastikan kemajuan teknologi ini dirasai oleh semua lapisan masyarakat dengan liputan internet mudah alih mencapai 99.6% dan lebih 700,000 premis dilengkapi gentian optik untuk mendekatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar.

  1. Langkah Mitigasi dan Kesiapsiagaan Hadapi Bencana

Negeri Perak akan terus memimpin usaha mitigasi bencana, perubahan iklim, dan pemulihan alam sekitar untuk memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan dengan pelaksanaan projek-projek infrastruktur yang berkaitan bencana serta meluaskan latihan simulasi bencana kepada komuniti setempat untuk menghadapi situasi bencana.

Kelima-lima fokus utama tersebut disampaikan oleh YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad dalam ucapannya pada Majlis Executive Talk dan Perutusan Tahun Baru 2025 yang diadakan di Hotel Casuarina@Meru, di sini.

Hadir sama, YB Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid, Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YB Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak; YB Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; Orang Besar-Orang Besar Negeri Perak; Ahli-Ahli Dewan Negeri Perak serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Monday 23 June 2025, 09:05:57.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.