Skip to main content

Seramai 19,012 Orang Menerima Bantuan Kad Perak Sejahtera.

YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad menyatuni tetamu yang hadir.

IPOH, 22 Februari 2025 - Seramai 19,012 orang telah menerima bantuan Kad Perak Sejahtera setakat Februari 2025 bagi membantu golongan B40, miskin dan miskin tegar dalam pembelian keperluan asas harian.

YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Kepada Penerima Program Kad Perak Sejahtera di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

“Kerajaan Negeri Perak menyasarkan 20,000 Ketua Isi Rumah (KRI) sebagai penerima. Bantuan ini boleh digunakan di 291 kedai dan pasar raya panel berdaftar dengan nilai keseluruhan RM1,200 setahun atau RM100 sebulan bagi setiap penerima.

“Sebanyak 1,002 permohonan baharu telah diterima dan 915 permohonan telah diluluskan dengan jumlah tertinggi diterima dari daerah Kinta membabitkan sebanyak 430 permohonan,” jelasnya.

Tambahnya lagi, daerah Kinta mempunyai permohonan yang tinggi kerana daerah itu ada lima buah kawasan Parlimen dan mempunyai peratusan penduduk yang ramai, agenda Kerajaan Negeri Perak adalah ingin bantu rakyat.

"Kita komited untuk memastikan program ini terus memberi manfaat kepada rakyat yang benar-benar memerlukan dan akan diteruskan sebagai sebahagian daripada agenda kesejahteraan rakyat," katanya.

Terdahulu, beliau turut merasmikan Persidangan Perundingan Wanita Perak 2025 yang menghimpunkan 63 orang perwakilan wanita dari pelbagai latar belakang bagi memperkukuh peranan wanita dalam kepimpinan dan pembangunan negeri.

“Kerajaan Negeri Perak berharap agar persidangan ini dapat merumuskan resolusi berimpak tinggi yang akan menjadi asas kepada dasar-dasar baharu dalam memperkukuh peranan wanita dalam kepimpinan dan pembangunan negeri.

“Dengan dua inisiatif ini, Kad Perak Sejahtera dan Persidangan Perundingan Wanita Perak 2025, Kerajaan Negeri Perak membuktikan keprihatinan serta komitmen terhadap kesejahteraan rakyat dan pemerkasaan wanita dalam pembangunan negeri,” ujarnya.

Hadir sama, YB Dato’ Salbiah binti Mohamed, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Negeri Perak; Puan Jamilah binti Zakaria, Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak) serta Encik Kumaresan a/l Lingam, Timbalan Pengarah Sektoral 1, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Wednesday 14 May 2025, 00:57:00.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.