Skip to main content

YAB MB Perak Sampaikan Hadiah Pertandingan Tilawah Norma Baharu.: 7 Oktober 2020

Anugerah Pengurusan Masjid Terbaik Maal Hijrah 1442H

IPOH, 7 Oktober 2020 – YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Dato’ Azumu telah  menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Tilawah Al-Quran Rakaman Video Sempena Maal Hijrah Peringkat Dewasa di Pejabat Menteri Besar Perak.

Pertandingan anjuran bersama Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPK) dan Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan ini diadakan secara atas talian susulan Perintah Kawalan Pegerakan yang masih dilaksanakan.

Menurut YB Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan, Encik Mohd Akmal bin Kamarudin, pertandingan kategori dewasa ini dianjurkan susulan sambutan yang amat menggalakkan semasa pertandingan kategori remaja pada Julai lalu.

 “Tempoh PKP ini, dalam usaha kita tidak dapat mengadakan pertandingan Tilawah Al-Quran seperti tahun-tahun sebelum ini, jadi kita teruskan dan anjurkan sekali lagi program yang pernah diadakan.

“Alhamdulillah, program kali ini turut mendapat sambutan yang menggalakkan oleh rakyat Negeri Perak dan saya berharap mana-mana pertandingan seperti ini dapat diadakan dengan cara yang sama sekiranya Pandemik ini masih belum reda,” ujarnya selepas Majlis Penyampaian hadiah kepada pemenang di Pejabat Menteri Besar hari ini.

Dalam pertandingan berkenaan, johan tilawah kategori Qari telah dirangkul oleh Nur Hakim Mohamed Nor manakala johan kategori Qariah dirangkul oleh Noor Suhaiza Chulan.

Kedua-dua pemenang telah membawa pulang wang tunai bernilai RM2,000 dan sijil.

Tempat kedua bagi kedua-dua kategori pula disandang oleh Nurul Isnani Mohd Jamaee dan Mohamad Syazwan Abdullah manakala tempat ketiga bagi kedua-dua kategori disandang oleh Habsah Ismail dan Mohamad Anas Razali.

Naib Johan dan penyandang Tempat Ketiga masing-masing membawa pulang RM1,500 dan RM1,000 dan sijil.

Dalam majlis sama, YAB Menteri Besar turut menyampaikan Anugerah Pengurusan Masjid Terbaik kepada Masjid Idrisiah , Kariah Bukit Bertam yang membawa pulang RM5,000 dan RM30,000 peruntukan pembangunan manakala bagi  Anugerah Pengurusan Kubur Terbaik pula disandang  Pengurusan Perkuburan Gelong Pepuyu yang membawa pulang RM5,000 dan RM10,000 peruntukan pembangunan tanah kubur.

Turut hadir dalam majlis tersebut, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Timbalan Pengarah JAIPk, Harith Fadzillah Abdul Halim.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 27 November 2025, 04:19:41.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.