Perak Negeri Pertama Lancar Warong Rider. : 21 Oktober 2020.
Dato Seri Ahmad Faizal Azumu bersama penghantar makanan Warong Rider pada pelancaran awal di Pejabat Menteri Besar Perak.
IPOH, 21 Oktober 2020 – Perak menjadi negeri pertama melancarkan Warong Rider yang merupakan khidmat penghantaran atas talian yang telah diperkenalkan oleh anak tempatan.
Menurut YB Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Komunikasi dan Multimedia Negeri Perak, Tuan Khairul Sharil, inisiatif ini diperkenalkan bagi membantu usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) selain menjana peluang pekerjaan kepada belia.
"Inisiatif ini dijangka menjana 1,200 peluang pekerjaan kepada rakyat Perak terutamanya golongan asnaf, penganggur dan B40.
"Bagaimanapun, seramai 480 penghantar akan dilantik terlebih dahulu bagi peringkat awal di semua 24 kawasan Parlimen di Perak," katanya pada sidang media pra pelancaran yang telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Dato’ Azumu.
Turut hadir adalah Presiden Gabungan Persatuan Penjaja Dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), YBhg. Dato’ Ramli Noraini; Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Perak, Asmadi Teh; Ketua Pegawai Eksekutif Digital Perak, Meor Rezal Fitri Meor Redwan dan Ketua Pegawai Eksekutif Warong Rider, Mohd Nadzri Kamarulzaman.
YB Tuan Khairul Shahril berkata, Warong Rider menawarkan pelbagai khidmat penghantaran seperti makanan, dokumen dan bungkusan, ubat-ubatan, barangan dapur serta khidmat belian barangan pembeli peribadi yang dapat membantu usahawan IKS Perak yang terjejas akibat penularan COVID-19.
"Ia sekali gus dapat membantu pihak usahawan IKS memasarkan produk mereka menerusi perkhidmatan ini malah orang ramai bukan sahaja di kawasan bandar tetapi juga kawasan luar bandar dapat menggunakan Warong Rider," katanya.
Selain menerima elaun tetap sebanyak RM1,200 sebulan, penghantar Warong Rider boleh menikmati kelebihan lain termasuk Kit Pemula bernilai RM250 melalui Geran CONNECTIME daripada Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corporation Malaysia) dan Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia serta komisen penghantaran.
Bagi memudahkan orang awam yang berminat untuk mendaftar sebagai ‘rider’, Digital Perak telah membangunkan platform pendaftaran melalui pautan http://program.perak.my/warongrider/.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.