Skip to main content

YB SUK Perak Dikurnia Darjah Kebesaran DYMM Paduka Seri Sultan Perak . 6 November 2020.

YABhg. Tan Sri Zahidi mengumumkan senarai penerima  Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak.

IPOH, 6 November 2020: YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim telah dianugerahkan Darjah Dato’ Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran ‘Dato’’ sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada tahun ini.

Menurut YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jen. Dato’ Seri Diraja Tan Sri (Dr.) Mohd Zahidi bin Haji Zainuddin Panglima Angkatan, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Affendi Buang dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani mendahului senarai 147 penerima darjah kebesaran sempena Sambutan Hari Keputeraan Ke-64 DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Mereka dikurniakan dengan Darjah Seri Panglima Taming Sari (SPTS) yang membawa gelaran ‘Dato’ Seri Panglima’.

Selain itu, DYMM Paduka Seri Sultan Perak turut berkenan mengurniakan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) kepada 11 orang penerima; 5 orang penerima Darjah Dato’ Pahlawan Taming Sari (DPTS); 9 orang penerima Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM); 15 orang penerima Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP); 9 orang penerima Darjah Ahli Cura Si Manja Kini; 25 orang penerima Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP); 27 orang penerima Pingat Pekerti Terpilih (PPT); 38 orang penerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK)  dan 5 orang penerima Pingat Lama Perkhidmatan (PLP).

*Senarai penuh penerima pingat boleh diakses melalui laman web rasmi Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak Darul Ridzuan di pautan http://pingat.perak.gov.my/.

“Jumlah penerima darjah kebesaran dan pingat pada tahun ini terhad jika dibanding dengan tahun lalu dan hanya tertumpu kepada pasukan barisan hadapan dan mereka yang benar-benar layak serta memenuhi ciri-ciri yang ditetapkan yang mendapat perkenan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah,” ujar YABhg. Tan Sri Zahidi semasa sidang media di Laman Seri Ridzuan, Ipoh.

Tambahnya, Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak hanya akan diadakan pada satu tarikh yang akan ditetapkan dan bergantung sepenuhnya kepada situasi serta keadaan semasa berikutan penularan wabak pandemik Covid 19 yang melanda negara kita.

Berdasarkan perkembangan semasa, acara rasmi utama sambutan seperti Majlis Santapan Diraja, Istiadat Kawalan Kehormatan, Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia, Menjunjung Duli dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak terpaksa ditangguhkan dahulu dan akan diadakan pada satu tarikh yang akan ditetapkan.

Hanya Majlis Bacaan Surah Yassin dan Doa Selamat yang akan diadakan bertempat di Masjid Sultan Idris Shah II pada solat Jumaat, hari ini dan turut diadakan di semua masjid daerah di seluruh negeri dengan diketuai oleh Orang Besar Jajahan dan Pegawai Daerah mengikut daerah.

Sumber : Korporat, SUK Perak.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 27 November 2025, 04:19:41.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.