Skip to main content

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Berangkat Ke Majlis Bacaan Yassin Dan Doa Selamat Sempena Hari Keputeraan. : 6 November 2020.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak  berkenan berangkat ke majlis Bacaan Yassin.

IPOH, 6 November 2020 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yassin dan Doa Selamat bersempena dengan Hari Keputeraan Baginda yang ke-64 di Masjid Sultan Idris Shah II, hari ini.

Turut berkenan berangkat ke majlis itu juga, DYAM Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Dato’ Azumu; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; barisan Exco kerajaan negeri serta wakil-wakil rakyat dan ketua jabatan.

Majlis yang bermula kira-kira jam 12.30 tengahari itu dipimpin oleh Timbalan Mufti Negeri Perak, YBhg. Dato’ Zamri Hashim.

Setelah bacaan Yassin dan Doa Selamat selesai, majlis diikuti dengan solat Jumaat yang didahului dengan khutbah khas sempena sambutan Hari Keputeraan DYMM Paduka Seri Sultan Perak yang bertajuk Mentaati Raja Tonggak Kesejahteraan Negara yang disampaikan oleh Imam Besar Masjid Negeri, Abd Farid Salleh.

Usai solat Jumaat, kesemua jemaah yang hadir mendirikan solat hajat bagi memohon perlindungan kepada Allah supaya dijauhkan wabak penyakit COVID-19 serta diberikan kesejahteraan dan keselamatan.

Majlis Bacaan Yassin dan Doa Selamat itu merupakan acara tahunan bersempena Hari Keputeraan DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang diputuskan pada hari Jumaat pertama dalam bulan November dan serentak diadakan di masjid-masjid seluruh negeri Perak.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 27 November 2025, 04:19:41.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.