Skip to main content

Perak Perkenal Inisiatif “ Rakan Niaga Telco “ Bantu Usahawan : 18 November 2020

Pertukaran memorandum persefahaman (MOU) di antara PASAK dan STeP oleh Pengerusi PASAK Tuan Haji Misbahul Munir.

IPOH, 18 November 2020 – Kerajaan Negeri Perak telah memperkenalkan inisiatif ‘Rakan Niaga Telco atau Telcoprenuer Perak’ di bawah Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (SteP) dengan kerjasama syarikat redONE Network Sdn Bhd.

Menurut YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Dato’ Azumu, inisiatif ini terbuka kepada seluruh warga Perak dengan memberi manfaat kepada 500 usahawan dan individu terpilih di negeri ini yang bakal menjana peluang pendapatan secara berterusan kepada golongan belia, penggangur, individu yang ingin menambah pendapatan serta usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang terkesan akibat wabak COVID-19.

“Dengan kerjasama syarikat redONE Network Sdn Bhd, RM 1.5 Juta telah dibiayai bagi program ini yang merangkumi insentif ‘Rakan Niaga’ dan ‘Penasihat Jualan’ yang mampu menjana pendapatan tambahan purata sebanyak RM3,000 dan RM1,500 sebulan bagi usahawan dan penasihat jualan.

“Bagi insentif ‘Rakan Niaga’, syarikat redONE menawarkan insentif berjumlah RM2,500 dengan rm500 kos permulaan, manakala insentif ‘Penasihat Jualan’ ia menawarkan insentif berjumlah RM580 dengan RM100 kos permulaan dan akan dipulangkan kembali ke E-wallet pemohon,” katanya dalam Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (Mou) antara PASAK, SteP dan redONE di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Saarani Bin Mohamad; YB Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil; Tuan Haji Razman bin Zakaria; YB Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Dato’ Nolee Ashilin binti Dato’ Mohd Radzi serta Pengerusi Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK), Misbahul Munir Masduki.

Pada perkembangan sama, inisiatif tersebut akan disebarkan kesemua kawasan dan daerah di Negeri Perak menerusi Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Pihak Berkuasa Tempatan, Penghulu dan Ketua Kampung.

Permohonan boleh dibuat secara atas talian mulai 19 November 2020 sehingga penghujung Disember 2020.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 27 November 2025, 04:19:41.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.