Skip to main content

Perak Lancar Program ‘Tuisyen Cikgu Saarani’ Beri Manfaat Lebih 200,000 Pelajar .: 3 Februari 2021.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani bin Mohamad menyerahkan mock cheque kepada Pengarah Pendidikan Perak.

IPOH, 3 Februari 2021- Kerajaan Negeri Perak hari ini telah melancarkan Program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) yang akan memberi manfaat kepada hampir 200,000 pelajar di seluruh negeri terutamanya yang datang daripada keluarga miskin dan berpendapatan rendah (B40).

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani bin Mohamad berkata, sasaran utama program ini adalah untuk membantu murid dan pelajar yang akan menduduki  peperiksaan utama.

“Ini termasuk 40,642 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sepatutnya menduduki ujian pada tahun 2020 tetapi ditangguhkan ke tahun ini ekoran pandemik COVID-19.

“Turut mendapat manfaat secara langsung daripada program TCS ialah 37,894 pelajar yang menduduki peperiksaan utama pada tahun 2021 iaitu seramai 30,320 pelajar Tingkatan Empat, 31,761 pelajar Tingkatan Satu dan 31,742 murid Tahun Satu,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media secara maya pada Majlis Pelancaran Program ‘Tuisyen Cikgu Saarani’ dan Penyerahan Mock Cheque Sumbangan Bantuan Khas Makanan di Pejabat Menteri Besar, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Turut hadir, YB Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia, Encik Ahmad Saidi bin Mohamad Daud; YBrs. Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Dr. Mohd Suhaimi Mohamed Ali; YBrs. Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri, Puan Rahimah binti Mohamad dan Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia Negeri Perak, Encik Suhaimi bin Harun.

Jelasnya lagi, melalui program ini, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak akan menyediakan guru dan tenaga pengajar bagi memberikan tuisyen atau kelas tambahan bagi subjek-subjek kritikal iaitu Bahasa  Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah.

“Selain tuisyen dan kelas tambahan, program ini juga merangkumi inisiatif dan bantuan khusus yang lain, antaranya bantuan khas makanan, program latih tubi menjelang peperiksaan, seminar menjawab soalan peperiksaan dan penyediaan bahan pengajar berasaskan video interaktif.

“Bagi permulaan, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM 2.7 Juta bagi bantuan khas makanan kepada 35,639 calon SPM yang menghadiri sesi persekolahan dan kelas tambahan di sekolah sebagai persiapan akhir menjelang peperiksaan.

“Mereka ini akan diberi makanan tengah hari secara harian selama 15 hari sehingga mereka menduduki peperiksaan yang dijaualkan bermula pada 22 Februari ini,” katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, peruntukan bagi program tersebut turut meliputi sumbangan kewangan daripada syarikat milik kerajaan negeri (GLC) iaitu Perbadanan Menteri Besar (MB Inc); Lembaga Air Perak (LAP); Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) DAN Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP).

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Friday 16 January 2026, 06:45:36.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.