Sasar 600 Calon, Dewan Belia Perak Platform Anak Muda Lontar Idealisme. : 18 Februari 2021
YAB Menteri Besar Perak merasmikan Majlis Pelancaran Dewan Belia Perak
IPOH, 18 Februari 2021 - Kerajaan Negeri Perak menyasarkan seramai 600 calon yang akan berdaftar untuk mewakili 59 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada sesi Dewan Belia Perak yang Ketiga 2021/2022 yang dijangkakan bersidang pada penggal kedua tahun ini.
YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani bin Mohamad berkata, pendaftaran bagi pencalonan perwakilan dan pengundi telah bermula pada hari Rabu secara atas talian sepenuhnya.
“Pada sesi kali ini, terdapat beberapa pembaharuan dan penambahbaikan dilakukan dimana setiap DUN perlu mempunyai wakil daripada golongan belia dan fokus kepada lapan kumpulan iaitu belia bersekolah, belia pengajian tinggi, belia berkerjaya, perkumpulan belia, belia massa, belia Malaysia antarabangsa, belia minoriti dan belia berisiko.
“Dewan Belia Perak ini juga akan bersidang sekurang-kurangnya sekali dalam setahun dimana usul yang dibentangkan, dibahas dan diluluskan dalam sidang dewan itu harus diangkat oleh perwakilan sebagai projek yang perlu dilaksanakan” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Dewan Belia Perak yang dilakukan secara maya di Pejabat Menteri Besar, Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Jelasnya lagi, belia memainkan peranan penting dalam rantaian pembangunan negeri sama ada dari sudut ekonomi, sosial dan politik serta menjadi pemangkin kepada kemajuan sesebuah negeri.
“Dewan Belia ini juga menjadi platform penting untuk anak muda melontarkan idealisme yang membina dan memakmurkan negeri.
“Bersuaralah terutamanya dalam hal-hal yang menyentuh kepentingan rakyat dan lontarkan idea-idea segar bagi menangani isu kemiskinan, kesenjangan pendapatan, pengangguran, kos sara hidup atau apa jua kekangan yang menghambat kehidupan rakyat terutama sekali dalam suasana kita melawan Covid-19” katanya lagi.
Dalam majlis tersebut, YAB Dato’ Saarani bin Mohamad turut mengumumkan pelantikan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Trong, YB Jamilah binti Zakaria sebagai Speaker Dewan Belia.
Bagi pencalonan dan pengundian perwakilan, Dewan Belia akan menggunakan platform atas talian menerusi laman sesawang http://dewanbelia.perak.my sepenuhnya seiring dengan norma baharu.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.