Skip to main content

YAB Menteri Besar Antara Individu Terawal Terima Suntikan Vaksin Covid-19 Di Perak : 1 Mac 2021.

YAB Menteri Besar selepas menerima vaksin Covid-19

IPOH, 1 Mac 2021 —  YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani Mohamad menjadi individu terawal yang menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan peringkat Negeri Perak.

YAB Dato’ Saarani bin Mohamad mengetuai seramai 221 individu menerima suntikan tersebut yang turut terdiri daripada barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) serta Pengarah Kesihatan Negeri, Dato’ Dr. Ding Lay Ming.

Beliau berkata, seramai 221 petugas barisan hadapan yang bertugas di pejabat dan makmal kesihatan sekitar daerah kinta turut menerima suntikan sama pada pelancaran program berkenaan di sini hari ini.

“Berdasarkan data Jabatan Kesihatan Negeri, Perak telah menerima sebanyak 22,230 dos pertama bekalan vaksin untuk diberikan sepanjang pelaksanaan fasa pertama.

“Bagi tujuan itu, seramai 39,760 petugas barisan hadapan di Negeri Perak akan menerima suntikan vaksin pada fasa pertama yang dijangka selesai pada penghujung April ini,” katanya dalam satu sidang media.

Jelasnya, jumlah petugas barisan hadapan tersebut terdiri daripada 22,094 petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala baki 17,666 petugas barışan hadapan dari jabatan lain yang turut terlibat secara langsung dalam aktiviti pencegahan dan kawalan Covid-19.

Pemberian Imunisasi Fasa Pertama itu turut meliputi PPV di klinik-klinik kesihatan, hospital dan dewan-dewan yang dikenal pasti di seluruh daerah.

Penerima vaksin yang telah mendaftar akan menerima notifikasi pemakluman melalui aplikasi MySejahtera berkenaan tarikh dan PPV yang ditetapkan.

“Saya sekali lagi merayu kepada seluruh lapisan Rakyat, khususnya di Perak supaya mendapatkan suntikan vaksin masing-masing seperti yang dijadualkan oleh KKM,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, orang awam boleh merujuk mana-mana jabatan kesihatan negeri sekiranya terdapat sebarang kemusykilan atau keraguan untuk mendapatkan maklumat lebih tepat dan sahih.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 27 November 2025, 04:19:41.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.