DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Berangkat Ke Majlis Penutup Tilawah Dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Perak. : 28 Mac 2021.
Pemenang qari terbaik dan johan hafazan peringkat negeri Perak.
IPOH, 28 Mac 2021- DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Penutup Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan 1442H/2021M di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru, di sini.
Turut berangkat DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Almarhum Raja Muda Musa; DYTM Raja Puan Besar, Raja Nazhatul Shima Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah dan DYAM Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.
Turut mengiringi baginda YB Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Dato’ Shahrul Zaman bin Yahya mewakili YAB Menteri Besar Perak; YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim dan YBhg. Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Dato’ Haji Mohd Yusop bin Haji Husin.
Pada majlis tersebut, DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut berkenan menyempurnakan hadiah kepada johan qari dan qariah negeri, Mohd Kamaruzaman bin Daud dan Munirah binti Razali.
Kedua-dua pemenang tersebut masing-masing membawa pulang wang tunai bernilai RM10,000, plak, sijil, hadiah iringan serta pakej menunaikan haji bernilai RM10,000.
Sementara itu Ahmad Akhyar Alfadli bin Khairuddin dan Durrah binti Baharuddin telah diumumkan sebagai pemenang bagi kategori menghafaz Al-Quran juzuk 1-10.
Manakala, Muhammad Adib bin Ahmad Rozaini dan Aqilah Sulhi binti Ahmad Rozaini telah diumumkan sebagai pemenang bagi kategori menghafaz Al-Quran juzuk 1-20.
Bagi kategori menghafaz Al-Quran juzuk 1-30, Abdullah bin Muhammad Hanif dan Adibah Husni binti Ahmad Rozaini telah diumumkan sebagai pemenang.
Pada perkembangan sama, kesemua pemenang pertandingan tilawah dan hafazan kali ini akan mewakili Negeri Perak ke Pertandingan Tilawah dan Hafazan Peringkat Kebangsaan.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.