Skip to main content

Kerajaan Negeri Fokus Pendaftaran Penerimaan Vaksin Dikalangan Orang Asli. : 31 Mac 2021.

YAB Menteri Besar Perak ketika merasmikan Program Imunisasi Covid- 19 Bersama Penyelaras Pasukan Khas Bagi Masyarakat Orang Asal Negeri Perak 2021.

PARIT, 31 Mac 2021- Jumlah masyarakat Orang Asli yang mendaftar sebagai penerima vaksin Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Negeri Perak meningkat meskipun menghadapi halangan untuk mendaftar menggunakan aplikasi MySejahtera secara atas talian.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani bin Mohamad berkata, pendaftaran secara manual memainkan peranan penting oleh kerana kebanyakkan kawasan perkampungan Orang Asli mengalami kekangan kemudahan teknologi seperti tiada gajet dan tidak mempunyai capaian internet.

“Kerajaan negeri menerusi Jabatan Penerangan Negeri (JaPen) Perak dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan memperluas kaedah pendaftaran secara manual ke seluruh perkampungan Orang Asli di Perak.

“Selain itu, jabatan-jabatan berkaitan diharapkan untuk turun ke kawasan yang mempunyai kekangan untuk melancarkan urusan pendaftaran penerimaan vaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Santai MESRA Masyarakat Orang Asli di Kampung Suak Padi, Bota di sini.

Hadir sama YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Encik Khairul Shahril bin Mohamed dan Ybrs. Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Perak, Tuan Haji Mohd Taip bin Ubah.

Jelas YAB Dato’ Saarani bin Mohamad lagi, beliau berharap orang ramai khususnya masyarakat Orang Asli supaya tidak mempercayai berita palsu berkenaan vaksin yang dikatakan akan mempengaruhi kesihatan penerima.

“Pelbagai cerita telah disampaikan oleh orang tidak bertanggungjawab, seperti contoh vaksin ini akan mempengaruhi kesihatan, jarum yang besar akan digunakan untuk suntikan dan bermacam lagi, namun saya sendiri sebagai Menteri Besar telah pun menerima suntikan vaksin sebanyak dua kali pada 1 dan 22 Mac tiada kesan teruk berlaku.

“Kita akan bantu masyarakat ini dan menerusi kempen yang akan diadakan secara berterusan itu, Penyelaras Pasukan Khas Bagi Masyarakat Orang Asal Negeri Perak akan terus memperhebat promosi dan turun ke kawasan terlibat bagi pendaftaran manual,” katanya.

Pada perkembangan sama, Program Menteri Bersama Rakyat (MESRA) Daerah Perak Tengah merupakan program kali yang ketiga diadakan di mana kali ini YAB Dato’ Saarani bin Mohamad meluangkan masa dan menyantuni masyarakat Orang Asli.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 27 November 2025, 04:19:41.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.