Reka Bentuk Mudah Alih, Kiosk BizNita Mudahkan Peniaga Wanita. : 8 April 2021
YAB Menteri Besar Perak ketika menyampaikan ucapan
TANJUNG MALIM, 8 April 2021 - Seramai 215 orang peniaga wanita seluruh negeri Perak menerima bantuan Kiosk BizNita dengan sentuhan reka bentuk unik dan mudah alih bagi memudahkan mereka menjalankan perniagaan.
Bantuan kiosk tersebut merupakan inisiatif khas di bawah portfolio Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO.
Pengerusinya, Dato’ Dr. Wan Norashikin binti Wan Noordin berkata, inisiatif tersebut membolehkan peniaga wanita menambah pendapatan keluarga, lebih-lebih lagi Ketika wabak pandemik Covid-19 ini.
“Kita telah membuat pembaharuan dengan mengambil reka cipta yang ‘custom made’ di mana kita telah berbincang dengan pembuat kiosk tersebut untuk memastikannya dapat memudahkan peniaga wanita untuk berniaga.
“Kiosk ini mempunyai payung, mudah alih di mana ianya ringan dan boleh lipat untuk dimasukkan ke dalam kereta. Jadi ia sangat sesuai untuk peniaga wanita yang perlu mengangkat barang-barang mereka seorang diri.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kiosk Bantuan Peralatan Peniaga Kecil Wanita (BizNita) di Dewan Behrang Stesyen, di sini.
Majlis itu telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani bin Mohamad sempena Program Menteri Besar Bersama Rakyat (MESRA) Parlimen Tanjung Malim.
Dalam persamian program tersebut, seramai 12 orang penerima dari Tapah, Teluk Intan dan Tanjung Malim menerima bantuan kiosk tersebut.
Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim dan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Slim, Encik Mohd Zaidi bin Aziz.
Jelas YB Dato’ Dr. Wan Norashikin binti Wan Noordin lagi, penerimaan bantuan tersebut membabitkan semua kaum iaitu Melayu, India, Cina dan juga Orang Asli.
“Untuk pelancaran hari ini, kita telah menyerahkan kiosk ini kepada 12 orang penerima dan untuk baki selebihnya, kita akan serahkan di daerah lain, peruntukan untuk kiosk ini kira-kira RM350,000.
“Memandangkan tidak lama lagi kita akan masuk ke bulan Ramadan, dapatlah mereka guna kiosk ini untuk berniaga di lokasi yang bersesuaian,” katanya.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.