Klinik Pergigian Bergerak (Treler) Menjadi Tempat Pemberian Vaksin.
Petugas vaksin sedang menjalankan tugas.
LENGGONG, 8 Jun 2021 - Program Jangkauan Komuniti (Outreach) Imunisasi COVID-19 yang telah diumumkan oleh YAB Menteri Besar, Dato’ Saarani Bin Mohamad ternyata telah memudahkan penduduk Felda Papulut di sini untuk mendapatkan vaksin. Lebih unik apabila ia menggunakan Klinik Pergigian Bergerak (treler) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dataran Arena Amanjaya Lawin.
Menurut Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Perak (Pergigian) Dr Nama Bibi Saerah Binti Abd Karim, seramai 311 individu daripada golongan sasaran berjaya diberikan suntikan vaksin yang terdiri daripada warga emas, orang kurang upaya dan golongan yang mempunyai masalah kesihatan.
“Treler itu juga bergerak ke Felda Lawin Selatan dan Felda Lawin Utara untuk memudahkan penduduk di sana. Pemberian vaksin menggunakan treler ini lebih selesa, kerana ia berhawa dingin dan prosesnya berjalan sangat cepat,” katanya ketika ditemui pemberita.
Sementara itu, wakil daripada Kementerian Belia dan Sukan yang bertugas di Daerah Hulu Perak, Zawani Bin Zainal berkata program selama empat hari bermula 5 Jun 2021 sehingga 8 Jun 2021 mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
“Terdapat 10 orang sukarelawan yang turut membantu menjayakan program ini. Sesiapa yang berminat untuk menjadi sukarelawan boleh mendaftar melalui laman web www.myvac.com.my, bertujuan membantu petugas barisan hadapan dalam urusan penyampaian vaksin kepada rakyat,” katanya.
Pada masa yang sama, seorang warga emas Muhammad Yunus, 69, yang hadir bersama isterinya, 60, berkata mereka gembira apabila dihubungi melalui telefon daripada pegawai kesihatan untuk hadir menerima suntikan vaksin ini. Peneroka Felda itu kelihatan tidak mengalami sebarang kesakitan sebaik selesai menerima suntikan pertama dan berharap program ini dapat diteruskan pada masa hadapan.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.