Skip to main content

31 PPV Negeri Perak Berfungsi Sepenuhnya Penghujung Jun.

YAB Menteri Besar Perak menerima penerangan mengenai kawasan PKPD Batu 9 Lekir.

LUMUT, 13 Jun 2021- Kerajaan negeri akan terus memberi fokus dalam memastikan 31 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri Perak beroperasi sepenuhnya bermula hujung bulan ini.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani bin Mohamad berkata, setakat ini hanya 18 daripada 31 PPV yang berfungsi,berikutan berikutan bekalan vaksin COVID-19 tidak cukup untuk menampung kegunaan di pusat berkenaan.

“Ini bukan disebabkan kekurangan tenaga kerja, ini disebabkan kita mahu memastikan bekalan vaksin mencukupi.

“Jika berdasarkan pengumuman YB Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin bin Abu Bakar, bekalan vaksin dijangka tiba mengikut jadual pada hujung bulan Jun dan Julai ini, jika ia berlaku maka semua 13 PPV ini akan beroperasi.

Beliau berkata demikian selepas meninjau kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tiga perkampungan di Batu 9 Lekir, di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Tanjung Kepah, di sini.

Pelaksanaan PKPD Batu 9 Lekir itu berkuat kuasa bermula 6 Jun sehingga 19 Jun dengan membabitkan 3 buah perkampungan iaitu Kampung Tanjung Kepah, Kampung Batu 9 dan Kampung Sungai Lombong.

Ujar YAB Dato’ Saarani Mohamad lagi, jika kesemua 31 PPV beroperasi dengan sepenuhnya, dijangka antara 20,000 hingga 30,000 individu dapat divaksin setiap hari.

“Ketika ini dianggarkan kira-kira 10,000 penduduk divaksin di negeri ini sehari dengan sasaran ditingkatkan kepada 15,000 sehari dalam tempoh terdekat susulan penambahan kaedah pemberian vaksin menerusi PPV bergerak dan pandu lalu.

“Kerajaan negeri juga telah memberi kebenaran kepada syarikat Maju Perak untuk membeli vaksin bagi pemberian vaksin secara berbayar kepada mereka yang berkemampuan,” katanya.

Dalam lawatan tersebut, YAB Dato’ Saarani Mohamad berkesempatan meninjau PPV Dewan Serbaguna Perumahan Penjawat Awam (PPA), Lumut kiri bagi melihat proses vaksinasi yang dijalankan.

Program Fasa 2 di PPV itu berjalan lancar, dengan komitmen baik yang ditunjukkan oleh petugas-petugas kesihatan, Sukarelawan MyVac, kakitangan PDT Manjung, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 27 November 2025, 04:19:41.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.