Skip to main content

Warga Kerian Bekerjasama Dalam Proses Vaksinasi.

Petugas kesihatan membantu dalam melancarkan lagi proses vaksinasi.

KERIAN, 18 Jun 2021 – Sambutan di Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) Dewan Kerian Permai, Parit Buntar dan PPV Dewan Dato Zainal Abidin Zin, Bagan Serai semakin meningkat dalam kalangan penduduk daerah Kerian. Ini jelas apabila kehadiran penerima vaksin daripada 65% pada 3 Mei 2021 meningkat kepada 90.7% pada 13 Jun 2021.

YBrs. Pegawai Daerah Kerian, Tuan Haji Mohd Sabli Bin Bakri berkata, sepanjang tempoh Pergerakan Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang telah diadakan di mukim Parit Buntar, pihak Majlis Daerah Kerian telah memohon kelonggaran daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membenarkan penduduknya mendapatkan vaksin. Walau bagaimanapun, pemberian dos pertama kepada penduduk di Taman Kerian Tambahan, Parit Buntar terpaksa ditangguh semasa PKPD ini.

“Bagi vaksin dos kedua, petugas kesihatan daerah telah menjalankan inisiatif memberi vaksin secara terus dari rumah ke rumah menggunakan kenderaan pejabat kesihatan dan penduduk juga boleh mendapatkan vaksin di pusat saringan Covid-19 di taman ini semasa tempoh PKPD tersebut,” tambah beliau.

“Cabaran di daerah ini adalah apabila ramai penduduk yang terpaksa merentas negeri berulang alik kerana bekerja di Pulau Pinang. Risikonya juga bertambah apabila mereka singgah ke kedai ketika pulang dari kerja dan ini menjadi satu penyebab penyebaran Covid-19 di sini. Kami berharap pekerja yang terpaksa berulang-alik ini lebih patuh dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Sehingga 13 Jun 2021, 9,996 orang penduduk telah menerima vaksin untuk dos yang pertama dan seramai 7,186 orang penduduk telah menerima vaksin untuk dos yang kedua,” katanya kepada wartawan ketika ditemu duga secara maya.

Beliau amat berterima kasih dan hargai usaha seramai 96 anggota penjawat awam dan sukarelawan yang membantu menjayakan proses vaksinasi di kedua-dua PPV di daerah ini. Antara penjawat awam yang terlibat adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta anggota-anggota kesihatan. Terdapat juga sukarelawan yang berdaftar melalui Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVAC) dan Skuad Agen Basmi Covid-19 (ABC-19).

Sementara itu, Kilang Siang Heng Plastic Ware Sdn Bhd (produk berjenama Century) telah menghantar seramai 9 orang pekerja sebagai sukarelawan di Pusat Vaksin Taman Wawasan Jaya, Parit Buntar.

“Ahli Majlis Daerah Kerian, Encik Ooi Thian Wee telah bekerjasama bersama Pengarah Syarikat, Dato Teoh Boon Thong untuk membantu dalam proses pemberian vaksin ini. Kami telah membantu penduduk dari segi pengangkutan, penterjemahan bahasa dan menaja keperluan seperti khemah tambahan dan peralatan yang lain.

“Tidak lupa juga pemberian makanan asas seperti beras, roti dan telur kepada penduduk kawasan PKPD Taman Kerian Tambahan,” kata Pengurus Sumber Manusia Kilang Siang Heng Plastic Ware Sdn Bhd, Tan Siew Lee semasa ditemu duga oleh wartawan secara maya.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 27 November 2025, 04:19:41.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.