Program Jangkauan (Outreach) Imunisasi Covid-19 Kedua Di Kampar.
Antara warga emas yang telah mendapatkan suntikan vaksin
GOPENG, 19 Jun 2021- Seramai 90 orang penduduk telah divaksin menerusi Program Jangkauan (Outreach) Imunisasi COVID-19 yang telah diadakan di Klinik Kesihatan Kota Bharu, Gopeng.
YB Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak, Dato’ Nolee Ashilin binti Mohammed Radzi berkata ini adalah program Outreach yang kedua, selepas diadakan di Dewan Komuniti Sahom.
“Melihat kepada sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai, pihak kami akan mempertimbangkan untuk mengadakannya di kawasan yang lebih luas di samping mendapatkan bekalan vaksin yang lebih banyak untuk penduduk di sini,” kata beliau.
Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) turut mempertimbangkan latar belakang sosioekonomi, jarak dari dewan Pusat Pemberian Vaksin (PPV), kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan sambutan masyarakat untuk membantu menjayakan program ini.
Maka, penduduk daripada 6 buah kampung di kawasan berdekatan klinik kesihatan ini, iaitu Kg. Kota Bharu; Kg. Changkat Tualang; Kg. Redang Sawa; Kg. Changkat Legong; Kg Bunga Tanjung; dan Kg. Changkat Belulang telah dipilih untuk divaksinasi.
Turut hadir adalah Pegawai Daerah Kampar, Tuan Khairul Anwar bin Ramli
Sementara itu, Puan Zawiyah binti Meor Shaari, 74, serta adiknya, Meor Nasir Bin Meor Saari, 62, yang juga daripada golongan Orang Kurang Upaya (OKU), amat bersyukur diberi peluang untuk menerima vaksin ini.
“Kawan-kawan makcik sudah ramai yang telah menerima vaksin. Makcik pun tergerak hati untuk memberi nama apabila diminta oleh ketua kampung,” kata Puan Zawiyah yang ditemani oleh anak saudaranya.
Dilihat juga bas klinik bergerak Pejabat Kesihatan Daerah Kampar yang digunakan untuk membawa peralatan dan bekalan vaksin untuk diberi kepada orang ramai.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.