PPV Bergerak: Penduduk Felda Besout Terima Dos Pertama.
YAB Menteri Besar bergambar di treler sukan permotoran cub prix yang diubah suai menjadi pusat PPV Bergerak.
BATANG PADANG, 24 Julai 2021 - Sebanyak 3,000 dos pertama vaksin telah diberikan kepada penduduk di kawasan Felda Besout 1, 2, 3, 4 dan 5. Program Pusat Pemberian Vaksin Bergerak (Trailer Mobile Outreach) Daerah Batang Padang itu telah dijalankan di Dewan Semai Bakti Felda Besout 1 bermula 22 Julai 2021 sehingga 24 Julai 2021.
YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani Bin Mohamad berkata program ini adalah kolaborasi antara Kelab Peminat Cub Prix Malaysia bersama Safe Aim Mutual Sdn. Bhd dan Kerajaan Negeri Perak.
“Program ini adalah salah satu contoh di mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama-sama membantu merealisasikan usaha ini bagi mempercepatkan Perak beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan menepati salah satu nilai ambang iaitu mencapai 40% vaksinasi.
Turut hadir, YB Senator Dato' Dr. Mah Hang Soon, Timbalan Menteri Pendidikan II; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; Ahli Dewan Undangan (ADUN) Slim, Encik Mohd Zaidi bin Aziz dan Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman.
Pada masa yang sama, seorang sukarelawan, Siti Nur Firdausil Izaimi Husna binti Mohd Aziz, 21, berkata program ini menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk di sini. Sebagai sukarelawan, mereka dapat menimba ilmu di samping membantu orang ramai.
“Sebelum menjadi sukarelawan di felda ini, kami telah dilatih di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Trolak. Semasa latihan, kami telah belajar cara untuk membantu program pemberian vaksin daripada sukarelawan yang lebih berpengalaman. Di sana, kami berjumpa dengan sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) dan sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain,” ujar beliau semasa ditemu ramah oleh media.
Sementara itu, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani Bin Mohamad menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri Perak sentiasa bersedia untuk memberikan vaksin kepada seluruh rakyat Perak.
“Setelah saya meninjau pemberian vaksin di Tapah dan Lenggong, kita mempunyai tenaga kerja dan fasiliti yang mencukupi bagi menjayakan inisiatif pemberian vaksin kepada semua rakyat Perak. Kini, kita hanya bergantung kepada jumlah vaksin yang dihantar daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI),” jelas beliau kepada media di program tersebut.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.