Skip to main content

Bangkit Semangat Patriotisme Sebagai Tanda Solidariti Melawan Covid-19. : 11 Ogos 2021.

YAB Menteri Besar sedang berucap di Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2021.

IPOH, 11 Ogos 2021- YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani Bin Mohamad menyeru kepada seluruh lapisan rakyat untuk sama-sama membangkitkan semangat patriotisme sebagai tanda solidariti kita dalam melawan musuh yang tidak kelihatan ini.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2021 yang dijalankan secara maya di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

 “Setiap tahun apabila menjelang sambutan Hari Kebangsaan, ia menyedarkan kita semula tentang pentingnya semangat patriotisme dan cinta kepada negara. Bagi saya, dalam keadaan negara yang sedang berdepan ancaman COVID-19, semangat patriotisme ini menjadi sangat penting.

“Penerapan semangat patriotisme bukan sahaja menjadi ciri penting dalam pembinaan sebuah negara bangsa yang merdeka, tetapi  juga  mampu  membina  kerukunan  jitu  dalam  kalangan rakyat  bagi  menghadapi  cabaran  seperti  ancaman  besar  yang sedang kita hadapi hari ini.

“Jalur Gemilang melambangkan kesetiaan dan kesatuan kita sebagai rakyat Malaysia. Marilah kita sama-sama menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan ini dengan mengibar jalur gemilang di rumah, di bangunan pejabat, bangunan perniagaan bahkan di kenderaan kita,” jelas beliau.

Beliau juga turut mengalu-alukan rakyat Perak menyertai aktiviti pertandingan seperti Pertandingan Pidato Hari Kebangsaan, Keceriaan Bulan Kebangsaan, Kahoot-Kuiz Online, Bintang Patriotik  Smule, Teka  Silang  Kata  Online,  Selebriti  Merdeka PerakFM dan Kuiz Kemerdekaan PerakFM. Bukan itu sahaja, terdapat juga program berilmu termasuklah Program Bicara Kemerdekaan secara atas talian dan Info on Wheels Merdeka. Segala maklumat aktiviti akan disebarkan melalui Facebook Jabatan Penerangan Negeri Perak dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

Turut hadir YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-undang Negeri, Tuan Azmir Shah Bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zulazlan Bin Abu Hassan; YB Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia, Encik Khairul Shahril Bin Mohamed serta Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan YBrs. Pengarah Penerangan Negeri Perak, Tuan Mohd Taib Bin Haji Ubah.

Dalam masa yang sama, YAB Menteri Besar turut menzahirkan rasa simpati atas berita duka kematian ahli keluarga, rakan-rakan, jiran-jiran serta kenalan terdekat. Malah, kepada peniaga-peniaga kecil yang masih bergelut akibat terputus mata pencarian serta anak-anak yang terpisah dari alam persekolahan berbulan-bulan lamanya disebabkan wabak penyakit COVID-19 ini.

“Pada masa ini, program vaksinasi dilihat satu-satunya jalan untuk membawa kita keluar dari krisis ini.  Setiap  daripada  kita  punya peranan  untuk  mencapai  matlamat  imuniti  berkelompok. Pastikan setiap ahli keluarga, sahabat handai, jiran tetangga atau sesiapa sahaja kenalan kita berusaha bersama-sama untuk capai misi ini,”ujar beliau dalam ucapannya.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 27 November 2025, 04:19:41.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.