Majlis Penyampaian Hadiah Bagi Pertandingan Keceriaan Merdeka Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Tahun 2021
Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Puan Halizah Binti Sipun Telah Hadir Menerima Hadiah Sebagai Johan Bagi Pertandingan Ini
IPOH, 7 September 2021- YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim telah menyampaikan hadiah kepada para pemenang bagi Pertandingan Keceriaan Merdeka sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Tahun 2021.
Dalam pertandingan berkenaan, Unit Perancang Ekonomi Negeri telah menjadi Johan dan diwakili oleh Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Puan Halizah binti Sipun yang telah membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,500.
Manakala, Naib Johan telah disandang oleh Pejabat Kewangan Negeri Perak yang diwakili oleh Penolong Pegawai Kewangan Negeri, Encik Khairul bin Jamal. Bagi tempat ketiga, dimenangi oleh Bahagian Kerajaan Tempatan yang diwakili oleh Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan, Puan Mufidah binti Mahfodz.
Naib Johan dan penyandang tempat Ketiga masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM1000 dan RM700. Bingkai gambar terbaik dan sijil penyertaan juga telah disampaikan kepada setiap pemenang bahagian.
Pertandingan anjuran Bahagian Korporat, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak ini telah disertai oleh setiap bahagian di Bangunan Perak Darul Ridzuan bertujuan untuk mewujudkan suasana kemerdekaan dengan hiasan dekorasi yang kreatif dan inovatif serta memupuk semangat kemerdekaan di kalangan warga kerja.
Turut hadir, YBrs. Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Puan Nor Sham binti Rahman dan Penolong Setiausaha Bahagian Korporat, Puan Zuriati binti Zainal. Majlis ini telah diadakan secara ringkas bertepatan dengan norma baharu di Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.