Skip to main content

Penangguhan Penjualan Tanah Istana Lama Di Jalan Syed Abu Bakar, Teluk Intan.

 

YAB Menteri Besar Membuat Pengumuman Tersebut Di Bangunan Perak Darul Ridzuan Hari Ini.

IPOH, 22 September 2021- Kerajaan Negeri Perak bersetuju menangguhkan penjualan secara tender terbuka di tanah kerajaan tapak istana lama Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak di wilayah Jalan Syed Abu Bakar, Teluk Intan.

Keputusan yang diumumkan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani bin Mohamad dipersetujui bersama para Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan yang telah mengadakan mesyuarat pada hari Rabu.

“Kita mengambil maklum tentang beberapa pandangan daripada anggota masyarakat berkaitan tender yang berkeluasan 2.092 hektar tersebut. Maka, kita telah bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan tender ini kerana kita perlu membuat kajian yang terperinci berkaitan dengan tapak tapak bangunan itu.

“Penjualan tanah tersebut secara tender terbuka dilakukan selepas tiada bantahan diterima daripada orang awam oleh Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak ketika sesi pendengaran awam untuk membatalkan pewartaan kawasan itu pada 21 Januari 2021 lepas,” jelas beliau semasa bertemu pemberita di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Menurutnya, selepas tiada bantahan diterima, pembatalan tapak tanah rizab Istana Raja Muda Perak itu telah diwartakan pada 18 Mac 2021. Pihak Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak kemudiannya melaksanakan tender terbuka bagi pemberi milikan tanah kerajaan untuk tujuan komersial dan pembangunan bercampur mulai 15 September 2021 hingga 6 Oktober 2021.

Turut hadir YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan, Dato’ Ahmad Suaidi Bin Abdul Rahim; YB Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia, Encik Ahmad Saidi Bin Mohamad Daud; YB Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Encik Mohd Akmal Bin Kamarudin; YB Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Dato’ Nolee Ashilin Binti Dato’Mohammed Radzi; YB Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Komunikasi dan Multimedia, Encik Khairul Shahril Bin Mohamed dan YB Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Dato’ Shahrul Zaman Bin Datuk Yahya.

Sumber : Korporat, SUK Perak.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 27 November 2025, 04:19:41.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.