Skip to main content

Kerajaan Negeri Prihatin Terhadap Mangsa Ribut Di Daerah Manjung.

YAB Menteri Besar Sedang Memberikan Taklimat Di Dewan Komuniti Fasa 3a, Seri Manjung.

MANJUNG, 26 September 2021 - Sebanyak 88 buah rumah rosak ekoran bencana ribut yang berlaku di daerah Manjung pada Rabu lalu.

Bencana yang berlaku sekitar jam 6 petang itu turut melibatkan beberapa buah masjid, surau, dewan orang ramai, khemah dan tiang elektrik.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani bin Mohamad berkata, kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan dan kerajaan telah meluluskan RM100,000 untuk kerja-kerja pembaikan.

“Kami tiba pada hari ini untuk meninjau kawasan-kawasan yang terkesan akibat bencana ribut yang telah berlaku pada 22 September 2021 (Rabu) yang lalu. Kita menerima laporan daripada Pegawai Daerah Manjung, Tuan Shamsul Ridzuan Bin Idris, bahawa terdapat 88 buah rumah yang telah terkesan dengan musibah ini. Banyak rumah penduduk yang rosak sama ada atapnya diterbangkan angin atau musnah dihempap pokok tumbang.

“Ada rumah yang terjejas sehingga nilainya (kos) RM10,000, tetapi ada yang hanya RM300. Ini tidak termasuk bantuan ataupun baik pulih perbelanjaan melalui Yayasan Bina Upaya (YBU). Malah, kita juga akan memberi bantuan wang tunai sebanyak RM200 kepada semua mangsa yang terjejas di sini,” kata beliau ketika menyampaikan taklimat dan sumbangan di Dewan Komuniti Fasa 3A, Seri Manjung.

Pada masa yang sama, Zainuddin Bin Ismail, 62, yang duduk berseorangan di rumah pusaka keluarganya berkata, inilah kejadian ribut paling teruk pernah dialaminya sejak tinggal di rumah berkenaan kira-kira 45 tahun lalu.

“Saya sedang menanak nasi di dapur. Tiba-tiba, saya terdengar bunyi yang sangat kuat. Saya pergi ke luar rumah untuk lihat apa yang berlaku, saya nampak pokok Pinang Hutan di belakang rumah telah patah. Kemudian, cuaca ketika itu sangat mendung dan angin berpusing-pusing kuat.

Dalam beberapa saat, satu lagi pokok telah patah dan menghempap dapur rumah ini. Penjaja di depan rumah saya turut terkesan apabila khemah kedainya diterbangkan ribut. Nasib baik ada penduduk yang sempat menolongnya,” jelas beliau yang tinggal di Kampung Pasir Panjang Laut.

Dalam kejadian yang sama di Kampung Padang Tembak, Noraini Binti Che Mey, 58, berkata ketika kejadian beliau baru sahaja pulang dari bekerja.

“Sebaik tiba di rumah, terdengar anak perempuan jerit memanggil ayahnya. Dalam detik yang cemas, makcik menyuruh anak lelaki untuk melaungkan azan dan tidak henti berdoa kepada Allah S.W.T. Atap rumah makcik di belakang habis diterbangkan ribut,” terang beliau ketika berhadapan dengan saat cemas itu.

Beliau juga amat berterima kasih atas bantuan yang telah diberikan dan tindakan pantas yang diambil oleh pihak kerajaan untuk membaik pulih rumahnya.

Turut hadir, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi Bin Abdul Rahim; YB Ahli Parlimen Lumut, Datuk Wira Dr. Mohd Hatta Bin Md Ramli dan YB ADUN Pasir Panjang, Yahaya Bin Mat Nor.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 27 November 2025, 04:19:41.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.