Skip to main content

Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Perak.

YAB Menteri Besar Perak Ketika Program Berjalan 10,000 Langkah Hari Sukan Negara 2021 Peringkat Negeri Perak

IPOH, 9 Oktober 2021 - Hari Sukan Negara 2021 Peringkat Negeri Perak telah dilangsungkan secara sederhana dan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani bin Mohamad berkata, walaupun dalam suasana krisis kesihatan yang masih membelenggu negara, Sambutan Hari Sukan Negara ini tetap meriah dan memberi makna yang istimewa untuk kita semua.

“Saya menyeru masyarakat khususnya di Perak supaya berilah sokongan terhadap usaha ini dan sama-sama menyahut semangat Hari Sukan Negara dengan mengadakan aktiviti sukan di kawasan kediaman dan komuniti masing-masing secara individu atau berkumpulan.

“Suka untuk saya mengingatkan diri saya dan kita semua supaya apa jua aktiviti sukan yang dilakukan, biarlah ia berpandukan kepada SOP Sukan dan Rekreasi yang sedang berkuat kuasa walaupun sudah ada kelonggaran-kelonggaran tertentu, jangan kita merasa terlalu selesa sehingga leka atau terlupa bahawa kita masih berdepan situasi krisis kesihatan.,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Pelancaran Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Perak di Stadium Indera Mulia, di sini.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Tuan Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri , Dato’ Zulazlan bin Abu Hassan; YBhg. Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi bin Baharin; YDH Ketua Polis Perak, Dato’ Pahlawan Mior Faridalathrash bin Wahid dan seluruh barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Ujar YAB Dato’ Saarani bin Mohamad lagi, sukan mampu menjadi wadah penting dalam usaha kita untuk membentuk sebuah Keluarga Malaysia yang harmoni dan bersatu padu.

“Sejak berdekad lamanya, sukan telah mengajar kita untuk menyelami erti perpaduan, bekerjasama dan menanam rasa cinta kepada negara dan selain itu sukan telah mengikat kita sebagai bangsa yang tebal dengan nilai-nilai kasih sayang.

“Jangan sesekali kita mencemarkan keindahan dan kedamaian sukan dengan elemen atau pandangan negatif. Jadikanlah sukan sebagai jambatan untuk kita lebih bersatu padu, saling memahami dan sebagai pentas untuk kita sama-sama mengharumkan nama negara,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan sama, YAB Dato’ Saarani bin Mohamad berharap agar kejayaan atlet Paralimpik Negeri Perak, Cheah Liek Hou yang telah berjaya meraih emas di Paralimpik Tokyo 2020 dapat menjadi pembakar semangat terutamanya kepada anak-anak muda bahawa sukan adalah kerjaya yang mampu menjamin masa depan dan akhirnya akan menyumbang kepada ekonomi diri, keluarga dan negara.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 27 November 2025, 04:19:41.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.