Perak Kumpul 213.6 Tan Metrik Sisa e-waste.
YAB Menteri Besar Perak Ketika Melancarkan Taman Hari Alam Sekitar Negara (HASN).
SELAMA, 23 Oktober 2021- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Perak berjaya mengumpul sebanyak 213.6 tan metrik sisa barangan buangan elektrik dan elektronik atau ‘e- waste’ di seluruh negeri bagi tempoh 10 bulan.
YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani Mohamad berkata, jumlah itu adalah peningkatan sebanyak 485 peratus berbanding hanya 44 metrik tan e-waste yang berjaya dikumpul dan dikitar semula dalam kempen yang sama pada tahun 2020.
“Kejayaan ini terhasil daripada penglibatan dan komitmen oleh 15 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan 25 syarikat yang menyertai kempen ini secara konsisten dengan sokongan tiga kontraktor pengumpulan berlesen di negeri Perak.
“Selain itu, penglibatan sektor industri dalam kempen tersebut pada tahun ini juga meningkat sebanyak 312 peratus berbanding hanya lapan syarikat yang mengambil bahagian pada tahun 2020,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Alam Sekitar Negara 2021 Peringkat Negeri Perak di Dewan Majlis Daerah Selama di sini.
Hadir sama, YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zulazlan Abu Hassan; YB Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri, Encik Mohd Akmal Kamarudin; YB Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perak, Encik Khalil Yahaya dan YBhg. Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, Encik Rosli Zul.
Ujar YAB Dato’ Saarani Mohamad lagi, perkembangan tersebut mencerminkan komitmen sektor industri berkaitan pengurusan buangan e-waste di negeri Perak menunjukkan peningkatan yang sangat signifikan.
“Kempen yang dilaksanakan sejak tahun 2019 ini bermatlamat menyemai kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai bahaya dari buangan e-waste selain meningkatkan kesedaran awam untuk menjaga alam sekitar.
“Dengan jalinan kerjasama yang menyeluruh ini, pelaksanaan sistem pengumpulan dan pembuangan barangan elektrik dan elektronik di dalam negeri Perak dapat dijalankan lebih selamat, tersusun dan berkesan,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, YAB Dato’ Saarani Mohamad menyeru orang ramai supaya menghantar bahan buangan e-waste dari rumah ke pusat-pusat pengumpulan secara sukarela dan tidak membuang buangan yang dikawal ini ke persekitaran atau melalui tong-tong sampah domestik sedia ada.
Ini kerana buangan e-waste adalah bahan bertoksik dan berpotensi mengancam kesihatan selain merosakkan alam sekitar.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.