Skip to main content

Kastam Diraja Malaysia Anjur Khidmat Bakti Di Lenggong.

Wakil Penduduk Kampung Yang Menerima Bantuan Kotak Makanan Daripada Tetamu Kehormat

LENGGONG, 30 Oktober 2021- YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani bin Mohamad telah menyempurnakan Program Khidmat Bakti Masyarakat anjuran Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak dengan kerjasama Majlis Daerah Lenggong di Dewan Merdeka, Lenggong.

“Saya ucapkan terima kasih kepada pihak JKDM atas sumbangan yang diberikan. Ini adalah sumbangan yang amat besar kepada penduduk Lenggong terutama ketika ada penduduk setempat yang masih sukar mencari sumber pendapatan disebabkan wabak COVID-19,” kata YAB Menteri Besar Perak dalam ucapannya.

Turut berlangsung penyerahan kotak makanan oleh tetamu kehormat kepada para wakil penduduk kampung antaranya Kampung Temelong, Kampung Bukit Nangka dan Kampung Lenggong sebagai simbolik perasmian.

YBhg. Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Dato’ Sri Abdul Latif bin Abdul Kadir berharap sumbangan ini dapat meringankan beban di samping eratkan lagi hubungan silaturahim antara JKDM dengan penduduk setempat.

“Peranan JKDM dalam mengekang penyeludupan dapat diketengahkan melalui penganjuran seperti ini. Malah, kita dapat menyampaikan secara telus peranan dan memberi pendedahan kepada masyarakat berkaitan akta dan punca kuasa yang ditadbir oleh JKDM dalam memastikan kemakmuran negara terus dikekalkan,” jelas beliau.

Turut hadir YBhg. Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan), Dato’ Abdul Wahabi bin Abdullah; YBrs. Pengarah Kastam Negeri Perak, Dr. Mohamad bin Saprin; YBrs. Pegawai Daerah Hulu Perak, Tuan Mohd Zairasyahli Shah bin Zakaria dan Yang Dipertua Majlis Daerah Lenggong, Encik Mohd Amzari bin Mohd Arzami.

Terdahulu, YAB Menteri Besar Perak turut merasmikan Majlis Pelancaran Butik Bergerak Perak FC - Kopa Arena di perkarangan Dewan Merdeka, Lenggong.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 27 November 2025, 04:19:41.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.