Skip to main content

192 Penerima Darjah Kebesaran, Bintang Dan Pingat Negeri Perak Tahun 2021.

Sidang Media Hari Keputeraan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Ke-65

IPOH, 4 November 2021 -  YAB Menteri Besar Perak, Dato' Saarani bin Mohamad mendahului 192 penerima Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak Darul Ridzuan sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, tahun ini.

YAB Dato' Saarani menerima Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Dato' Seri dan diikuti YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Tuan Azmir Shah bin Zainal Abidin yang menerima Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) dan membawa gelaran Dato’.

Perkara ini dimaklumkan Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral Dato’ Seri Diraja YABhg. Tan Sri (Dr.) Mohd Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara) dalam satu sidang khas bertempat di Laman Seri Ridzuan.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim.

Selain itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri Perak, YBrs. Puan Nor Sham binti Rahman dan Ketua Protokol dan Istiadat Negeri Perak, YDH Toh Jana Pahlawan SAC (B) Abu Bakar bin Romlee merupakan antara 13 penerima  Darjah Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Dato'.

Beliau turut memaklumkan Darjah Panglima Taming Sari (DPTS) akan dikurniakan kepada empat penerima yang akan membawa gelaran Dato' Pahlawan.

Dalam masa yang sama, seramai sembilan penerima akan menerima Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM), 23 menerima Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP), lapan menerima Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM) dan 44 menerima Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP).

Manakala 47 penerima akan menerima Pingat Pekerti Terpilih (PPT), 33 menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan sembilan menerima Pingat Lama Perkhidmatan (PLP).

Menurut YABhg. Tan Sri Mohd Zahidi lagi, Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak Darul Ridzuan akan melibatkan pengurniaan yang membawa gelaran Dato’ Seri, Dato’ Seri Panglima, Dato’ dan Dato’ Pahlawan yang akan diadakan pada 14 November 2021 (Ahad), bertempat di Balairong Seri, Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. Siri ini akan melibatkan 19 penerima pada tahun 2020 dan 19 penerima pada tahun 2021.

Istiadat pengurniaan bagi siri seterusnya akan dianjurkan mengikut tarikh yang akan diperkenankan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan dan tertakluk kepada situasi semasa pandemik COVID-19 di negeri Perak.

Jelasnya kepada media, pengurniaan pada tahun ini juga adalah tertumpu kepada pasukan barisan hadapan yang telah banyak berkorban masa dan tenaga, untuk berjuang menentang dan mengekang penularan wabak pandemik COVID-19, terutamanya di negeri Perak Darul Ridzuan.

"Pengurniaan ini diharapkan akan dapat menaikkan semangat serta moral pasukan

barisan hadapan, dalam usaha mereka memastikan keselamatan rakyat negeri Perak dari jangkitan COVID-19", katanya.

Sambutan ulang tahun kali ini akan dimulakan dengan Majlis Kesyukuran yang akan diadakan di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar pada waktu Solat Jumaat, 5 November 2021. Majlis yang sama akan diadakan di semua masjid daerah di seluruh negeri Perak yang akan diketuai oleh Orang Besar Jajahan dan Pegawai Daerah.

Beliau juga menyeru kepada seluruh rakyat negeri Perak untuk bersama-sama meraikan dan menyemarakkan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan  DYMM  Paduka  Seri  Sultan  Perak  Darul  Ridzuan  dengan mengibarkan bendera negeri di bangunan-bangunan pejabat, perniagaan dan kediaman masing-masing.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 27 November 2025, 04:19:41.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.