YAB MB Harap Guru Cekal Hadapi Cabaran Pembelajaran Digital.
YAB Menteri Besar menyampaikan Anugerah Tokoh Guru kepada Hj. Abdul Hashim bin Abdul Karim pada majlis Sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Perak di Kuala Kangsar, Perak,hari ini.
KUALA KANGSAR, 9 November 2021- YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani bin Mohamad telah menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Perak Tahun 2021 yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Perak di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.
YAB Menteri Besar menyifatkan tema Hari Guru pada tahun ini iaitu “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu” adalah bertepatan dengan situasi yang dihadapi oleh warga pendidik sepanjang hampir dua tahun ini.
“Bilik darjah bertukar menjadi Google Classroom, Google Docs, Google Slides dan Google Meet di mana sebelum ini, ia adalah istilah yang asing bagi kita. Apabila sekolah ditutup, Whatsapp, Telegram, Wechat dan Facebook menjadi pengantara antara guru dan murid.
“Kita telah memasuki dimensi baru alam pendidikan yang begitu berbeza sifatnya. Cabaran- cabaran ini datang bersama hikmah yang lebih mematangkan profesion perguruan. Dengan titipan hikmah-hikmah itu, mudah-mudahan, warga guru akan lebih kuat mendepani cabaran pada hari-hari mendatang, Insya-Allah,” ujar beliau dalam ucapannya.
Turut hadir, Orang Besar Jajahan Kuala Kangsar, YABhg. Orang Kaya Temenggong Paduka Raja, Dato’ Seri Wan Mohd. Fathir@ Wan Fadzir bin Wan Hussain; YB Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia, Encik Ahmad Saidi bin Mohamad Daud; YBhg. Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Dato’ Dr. Mohd Suhaimi bin Mohamed Ali dan YBrs. Pegawai Daerah Kuala Kangsar, Encik Zulhisham bin Ahmad Shukori.
Di majlis tersebut, bekas pengetua Sekolah Tunku Abdul Rahman (STAR), Ipoh, Hj. Abdul Hashim bin Abdul Karim, 63, turut dinobatkan sebagai Tokoh Guru Negeri Perak 2021.
Menurutnya, penganugerahan tersebut memberi semangat kepadanya untuk terus menyumbang kepada masyarakat serta bersedia untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran walaupun sudah mengakhiri perkhidmatan pada tahun 2019.
“Saya ingin berpesan kepada para guru di luar sana, nawaitu paling penting. Kita buat yang terbaik, kita perlu anggap anak orang lain seperti anak kita dan Allah akan memberi yang terbaik untuk anak kita,” pesan beliau semasa ditemui media.
Beliau yang merupakan guru dalam bidang pertanian turut menggalakkan anak-anak muda menceburi bidang pertanian.
“Bidang pertanian ini amat luas dan dapat memberi peluang cerah kepada anak-anak muda. Malaysia mempunyai banyak tanah terbiar di Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang. Sepatutnya kita membangunkan tanah-tanah ini untuk mengubah nasib diri sendiri dan keluarga.
“Kerajaan juga menyeru kepada anak muda untuk menceburi bidang pertanian seperti menternak ikan Talapia, ayam kampung serta memperluaskan kaedah penanaman secara fertigasi seperti tanaman pokok Cili,” jelas beliau.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.