DYMM Paduka Seri Sultan Perak Titah Perlu Kebijaksanaan Kepimpinan Rencanakan Pemulihan Rakyat.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak, ketika bertitah semasa Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan
KUALA KANGSAR, 14 November 2021- Pasca COVID-19 memerlukan kebijaksanaan kepimpinan dan pengurusan yang dinamik lagi bertenaga dalam merencanakan pendekatan pemulihan yang dapat memberi impak bermakna kepada rakyat, terutama usaha membasmi kemiskinan.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah kebijaksanaan barisan pemimpin terdahulu, memformulasikan program pembasmian kemiskinan pada era pascamerdeka dan pada era Dasar Ekonomi Baru (DEB) mula diperkenalkan, hendaklah dijadikan rujukan, panduan dan pedoman.
"Pendidikan merupakan program paling berjaya DEB memenuhi matlamat pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat. Majoriti yang berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan dan peningkatan kumpulan menengah terutama dalam kalangan masyarakat Melayu dicapai melalui program pendidikan.
"Susulan pandemik yang berlaku, platform pendidikan, iaitu sekolah, universiti dan pusat-pusat pengajian merupakan institusi yang terjejas secara langsung. Para pelajar di sekolah serta di pelbagai institusi latihan dan pengajian, merupakan casualty atau mangsa yang menghadapi kerugian besar ketika ditetapkan Perintah Kawalan Pergerakan," titah baginda.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin bertitah demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan sempena Hari Keputeraan ke-65 baginda di Istana Iskandariah di sini.
Turut berangkat pada istiadat itu DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; DYTM Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa; DYTM Raja Puan Besar, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; DYAM Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan DYAM Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Sultan Abdul Halim serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.
Dalam titah itu juga, DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut melahirkan kebimbangan kepada aspek pendidikan negara yang masih tidak memiliki prasarana yang cukup untuk membolehkan kaedah pendidikan baharu dapat dinikmati oleh rakyat secara saksama.
"Masyarakat di luar bandar menghadapi kesukaran mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) kerana jalur lebar yang lemah dan tidak stabil.
"Sementara masyarakat dalam kategori berpendapatan rendah dan miskin menghadapi kesulitan kewangan untuk membekalkan anak-anak dengan peralatan peranti yang berkualiti," titah baginda.
Selain itu, DYMM Paduka Seri Sultan Perak,Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah bahawa negara wajib mengambil pengajaran dan merekayasa dasar dan program berkaitan kesihatan, bekalan makanan, pendidikan, kebajikan serta guna tenaga manusia, terutama kebergantungan yang keterlaluan kepada pekerja asing.
Baginda turut berpesan agar negara hendaklah bersedia dan berani melakukan pengauditan untuk menilai kekuatan dan kelemahan aset perkakasan, aset perisian dan aset sumber manusia dari segi kuantiti juga kualiti kepakaran, pengalaman dan kemahiran yang dimiliki.
"Penting disegerakan langkah-langkah penambahbaikan agar negara berada dalam keadaan lebih siap siaga menghadapi krisis pada masa hadapan.
"Bencana yang melanda hendaklah dijadikan pembuka mata untuk mencetuskan pemikiran baharu, memformulasikan kaedah baharu, menerokai pendekatan baharu, meletakkan keutamaan baharu dan memperkenalkan budaya baharu mengurus tadbir negara," titah DYMM Paduka Seri Sultan Perak,Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.